Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

BULAN REJAB – BUKTI ADANYA BALASAN DI AKHIRAT

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Al-Israa’ 17:1).
Satu kisah penting berlaku menurut firman Allah di atas adalah Nabi Muhammad SAW diperjalankan (israk) dan dinaikkan ke langit (mikraj) sampai ke langit dan kembali ke bumi Mekah. Ia berlaku pada 27 Rejab, kalendar Hijrah.
Israk ialah perjalanan Nabi dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa dan Mikraj ialah Nabi dinaikkan ke Hadhratul-Qudus menemui Allah. Dalam perjalanan itu, berlaku secara mukjizat (hanya kepada Nabi Muhammad SAW), lalu baginda dipertontonkan dengan segala kehebatan kejadian Allahdi alam syurga dan neraka. Amat penting diketahui juga ialah baginda bertemu dengan para Nabi dan menerima daripada Allah SWT amanat sembahyang lima waktu yang kemudian difardukan untuk sekalian umat Islam.
Kesemuanya merupakan kehebatan akan kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan untuk diyakini, diimani dan diamalkan oleh setiap muslimin. Ia adalah kepercayaan keimanan sehingga kembalinya kita semua menemui Allah Rabbul Jalil.
Tazkirah Rejab

Sehubungan itu, pada kita semua diseru agar sepanjang bulan ini, tazkirah Rejab patut dikobarkan dengan kesedaran dan keinsafan diri untuk kita semua kental utuh menyakini akan kehidupan dunia pastinya menghadapi pula kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Falsafah agama sebegini, bagi seorang pemimpin pastinya dapat pula mengingatkan ahli atau rakyat yang dipimpinnya supaya semua lapisan dapat menjadikan sirah sepanjang Rejab ini sebagai panduan hidup yang hakiki.
Menghayatinya, atas sifat pemimpin atau Menteri Besar bagi sebuah negeri seperti Kelantan ini yang subur dengan kehidupan beragama, adalah menjadi tanggungjawab diperingat atau sentiasa dirungkai persoalan akhirat kepada rakyat demi keberkatan Allah SWT.
Oleh kerana itu, kesibukan program atau events anjuran Kerajaan Negeri sepanjang minggu pertama bulan Rejab ini, antaranya lawatan kerja ke Gua Musang bertemu rakyat di samping menyampaikan geran tanah, sambutan Hari Anak Muda Kelantan, menyampai kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu dan berkhutbah Jumaat serta bertemu dengan masyarakat Siam di Tumpat juga merasmikan Muktamar Dewan Ulama Negeri; di sananya saya turut memberi ingatan betapa menjadi asas iman untuk semua lapisan masyarakat mengambil pengajaran di sebalik peristiwa besar dalam sepanjang bulan Rejab, terutamanya peristiwa israk dan mikraj.
Kekayaan untuk akhirat
Satu poin penting suka disebutkan, betapa Nabi Muhammad SAW sebelum dinaikkan ke langit bertemu Allah SWT, ialah Nabi tidak diperiksa kesihatannya oleh doktor. Nabi diperiksa oleh malaikat dan Jibrail sendiri yang menguruskan – di belah dada dan dicuci dengan air zamzam – ia sebagai persediaan perjalanan yang penuh cabaran.
Atas kehebatan (mukjizat) kisah Nabi itu, maka apalah yang kita bangga sangat dengan kekayaan dunia yang kita nikmati ini? Hakikatnya Allah berkuasa menentukan segala-galanya, maka kepada Allah kita menyerah diri.
Justeru apa saja nilai kekayaan yang kita ada, sama ada dalam bentuk wang ringgitkah, geran tanahkah, anak-cucukah? Atau apa saja kekayaan yang dibanggakan, hakikatnya kita kena ingat ia adalah di bawah ketentuan (kekuasaan) Allah segala-galanya.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maha Berkat (serta Maha Tinggi lah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk 67:1-2).
Atas ingatan ini, ada peringatan yang lebih besar lagi, iaitu semua kita pasti menghadapi akhirat. Di sana berlaku alam syurga dan neraka. Atas sifat umat Islam yang sejati hendaklah menjadi pilihannya ialah syurga. Maka kekayaan dunia yang kita bangga itu tidak boleh dibawa ke akhirat. Yang boleh dibawa ialah amal kebaikan, dan nilai kekayaan yang kita miliki hendaklah dimanfaatkan secara kebaikan. Ia menjadi saham untuk kita ke syurga!
Bagi umat Islam, tiada pilihan melainkan menerima dengan penuh syukur apa saja kekayaan dan dimanfaatkan untuk bekalan ke syurga. Oleh itu, rajin-rajinlah kita mengusaha segala kekayaan yang kita ada (termasuk tanah, kebun, hatta wang ringgit) menjadi sebahagian daripada saham akhirat. Sama-samalah kita bersyukur atas segala nikmat kekayaan kurniaan Allah SWT.

Cari Maklumat Di Sini