Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti




Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi.



Menurut kamus Dewan adab ialah baik budi bahasa, manis, budi pekerti yang halus, tertib, baik perangai dan kelakuan, tidak cabul, tidak lacur, berbahasa, santun, berakhlak, halus budi pekerti, bersusila, tahu adab, bertamadun, telah maju tingkat kehidupan (lahir dan batin) dan berkemajuan.

Kata Pendeta Za’ba, jika hendak mengenal orang berbangsa lihatlah kepada budi dan bahasanya. Pepatah Melayu mengatakan, bahasa menunjukkan bangsa.

Ertinya pertuturan seseorang dapat menunjukkan sama ada ia berbangsa tinggi atau rendah adanya. Juga seorang yang mulia atau hina. Hilang bahasa, hilanglah bangsa.

Ringkasnya adab itu ialah gambaran kehalusan budi pekerti dan kesantunan tingkah laku manusia. Akhlak yang mulia dan kesantunan adalah fitrah manusia. Contoh adab terhadap ALLAH ialah taat melakukan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.

Manakala adab terhadap ibu bapa ialah menghormati mereka, memuliakan mereka, berbuat baik terhadap keduanya, berbakti kepada keduanya, tidak meninggikan suara, melakukan apa yang mereka nasihati dan tidak melakukan perkara yang ditegah.

Kemudian adab kepada guru ialah menghormati, memuliakan, memberi haknya dengan baik dan merendah diri. Imam Syafie berkata, “Aku merendahkan diriku kepada mereka, sedang mereka pula memuliakan.”  “Dan tiadalah akan dimuliakan diri yang tiada terlebih dulu dihinakan.”

Adab sesama teman pula waspada ketika berkata-kata, menasihatinya dengan baik, tidak bersangka buruk dan bersabar dengan kerenah mereka. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Aku diutus TUHAN hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.”

Abdullah bin Mubarak mengatakan, “Kami lebih memerlukan adanya sedikit adab berbanding banyaknya ilmu.”

Perkataan tersebut menandakan ilmu yang banyak, IQ yang cerdas, pandai, otak bergeliga tidak ada nilainya, sama ada di hadapan ALLAH mahupun sesama makhluk tanpa disertai dengan budi pekerti yang luhur.

Itu sebabnya apabila kita melihat orang kaya, berpendidikan atau berpangkat tidak dihormati apabila berperangai buruk, sombong atau bongkak. Malah perbuatan ini mendatangkan kebencian dan permusuhan. Inilah yang dikatakan sikap tidak beradab.

Anakku,

Lihat betapa indahnya pantun Melayu yang menggambarkan mengenai budi:
Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Apabila kita hendak menelusuri perkara ini dan untuk mendapatkan sedikit gambaran, eloklah kita menoleh masa lalu barang sebentar. Misalnya, tahun-tahun 60-an atau 70-an dahulu, seorang pelajar atau remaja dalam pergaulan sehari-harinya begitu menghormati dan memuliakan guru, ibu bapa dan orang tua.

Jarang benar kita dengar kes-kes melawan guru, memukul guru dan lain-lain kes disiplin. Sebaliknya hari ini kes-kes seumpama ini sering kita dengar dan didedahkan oleh media massa saban hari.

Dahulu, kebanyakan pelajar takut kepada guru dan ibu bapa. Dengan kata lain, menghormati dan menyanjung mereka yang banyak berjasa. Misalnya, jika melintas di hadapan ibu bapa, seorang remaja akan menundukkan badan tanda hormat dan memberi salam.

Perilaku ini seringkali dijaga dan dipupuk sebagai tanda hormat dan meninggikan darjat mereka yang lebih tua. Tetapi hari ini, lain pula ceritanya. Ibu bapa dan guru tidak lagi dihormati bahkan dijadikan lawan. Guru dipukul jika menegur kesilapan. Ibu bapa dimarah, jika ditanya tentang aktiviti yang dilakukan. Agaknya apa yang akan berlaku kepada remaja malang itu apabila dewasa kelak?

Krisis Akhlak

Anakku,

Contoh yang paling dekat ialah perilaku remaja yang terjadi di sekeliling kita dewasa ini. Baik di kejiranan, sekolah mahupun pejabat. Menggunakan pertuturan janggal, aneh dan kasar bukan lagi suatu yang luar biasa bagi mereka. Istilah panggilan ‘hai bro’, ‘lu’, ‘gua’, ‘suka gila’, ‘sedap gila’ dan mengeluarkan kata-kata lucah serta tidak bertapis, berlaku pada setiap situasi sewaktu berkomunikasi. Ia menjadi perkara biasa yang dituturkan dan seolah-olah dihalalkan dalam asam garam pergaulan.

Begitu pula perbuatan lepak, berpelukan ketika menunggang motosikal, bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan seperti yang ditampilkan oleh remaja sekolah hari ini, jelas menunjukkan krisis adab dan akhlak yang terjadi.

Perbuatan memualkan ini boleh dilihat di tempat-tempat riadah, taman, tepian pantai atau tasik, bahkan yang lebih melampau ialah di perpustakaan awam.

Di sana mereka tidak serius belajar atau mentelaah pelajaran sebaliknya membuat bising, bersembang dan bercinta. Seolah-olah orang di kiri dan kanan mereka itu pekak dan buta. Inilah yang dikatakan tidak beradab dan tidak berakhlak mulia. Ketahuilah, redha ALLAH itu terletak kepada redha ibu bapa. Dan sekali guru itu dizalimi, maka gelaplah hati untuk menerima ilmu yang diajari. Akhirnya, masa hadapan akan hancur dan musnah.

Waspadalah!

Perkara yang sama juga menjadi keluhan ulama Al-Azhar, iaitu Syeikh Mahmud Al-Mishri, penulis buku ‘Ensiklopedia Akhlak Muhammad s.a.w’, katanya, “Bahawa medan dakwah dewasa ini menghadapi tentangan yang semakin berat. Hal ini kerana akhlak buruk tumbuh dengan sangat pesat, terutama mereka yang menganut fahaman at-tarbiyah an-nau’iyyah (pendidikan beragama).

Hal ini memunculkan fenomena berbahaya misalnya anak muda yang tidak mahu menghormati orang yang lebih tua, orang pandir yang berani melangkahi para ulama dan para pelajar berkelahi. Mereka saling bermusuhan, melupakan persaudaraan, tidak santun, tidak mahu saling memaafkan dan tidak mahu bersabar. Mereka bersikap lebih pandir daripada seorang yang tidak berpendidikan sama sekali.”

Alangkah indah dan harmoninya masyarakat dahulu yang halus pergaulan dan murni budi bahasa. Sehingga nostalgia ini melahirkan kenang-kenangan indah di hati. Sekiranya harapan ini boleh diterjemahkan kembali alangkah bahagianya masyarakat, umat dan negara hari ini. Iaitu apabila kemajuan teknologi dan kemodenan bersatu dengan adab yang baik dan moral yang tinggi.

Zaman ayahanda dahulu amat menitikberat menjaga akhlak dalam masyarakat. Tidaklah dikatakan langsung tiada perkara buruk yang berlaku, tetapi jarang benar terjadi. Jika ada pun, akan ditangani dengan segera agar tidak berpanjangan.

Prof. Dr. Hamka misalnya ada menulis perihal ini dalam bukunya yang berjudul ‘Ghirah dan Tantangan Terhadap Islam’. Dalam buku tersebut beliau mengupas tentang sifat malu ditinjau dari perspektif agama dan kaitannya dengan bangsa-bangsa Indonesia umumnya iaitu seperti Bugis, Makassar, Madura, Banjar, Minangkabau, Melayu dan lain-lain:

“Saya teringat suatu kejadian di Medan pada tahun 1938. Seorang pemuda membunuh pemuda lain yang berbuat jahat (serong) terhadap saudara perempuannya. Pemuda itu dihukum selama 15 tahun penjara. Ketika hukuman dijatuhkan, dia sedikit pun tidak menyesal. Dia menerima hukuman itu dengan tenang dan senyum.

Baginya hukuman tersebut kerana mempertahankan kehormatan keluarga bukanlah suatu kehinaan. Malah, jika saudara perempuannya diganggu orang lalu didiamkannya saja itulah kehinaan. Meskipun dia hidup 15 tahun lagi sesudah itu, tidaklah ada harganya. Meskipun dia lepas bebas dalam masyarakat 15 tahun tidaklah ada ertinya, serupa saja ertinya dengan menjadi orang buangan. Malahan lebih hina daripada itu. Dengan hukuman 15 tahun yang dijalani itulah dia berasa dirinya berharga.”

Hari ini perlakuan kotor telah mewabak dengan cepat disebabkan cetusan kemajuan teknologi yang tidak diseimbangkan dengan penerapan nilai-nilai murni agama. Maka lahirlah masyarakat yang tempang dan rosak.

Kadar kes jenayah berkaitan keganasan seks misalnya seperti rogol, buang bayi, liwat dan sumbang mahram dilaporkan meningkat sejak beberapa tahun lalu. Berdasarkan statistik, keganasan jenayah seks yang dilaporkan pada 2005 ialah 2,427 kes. Manakala 2,943 (2006); 3,689 (2007); 3,986 (2008) dan 4,238 (2009), keseluruhannya 17,283 kes.

Inilah kesan hilangnya iman dan rosaknya adab. Berhati-hatilah dengan cabaran dunia hari ini. Berusahalah melindungi maruah dan ‘mahkota’ diri agar tidak bertambah umat yang tidak berbapa dan tidak lagi menguburi insan kecil yang terbuang di lorong-lorong gelap dan semak-samun.


Cari Maklumat Di Sini