Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

BECA - Terengganu





KUALA TERENGGANU - Masa amat mencemburui beca yang merupakan antara pengangkutan utama pada era 40an dan 50an apabila peranannya kini diambil alih kenderaan seperti lori, bas dan teksi.
 
Namun, di Melaka pelbagai usaha dilakukan bagi memberi kenderaan roda tiga 'berkuasakan' tenaga manusia ini nafas baharu antaranya dengan menjadikan kenderaan itu aset pelancongan penting negeri itu.
 
Terengganu turut mewarisi kenderaan tradisional itu di mana pusat tumpuannya di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
 
Beca di sini tidak 'semoden' beca di Melaka yang mempunyai radio, lampu berwarna warni dan perhiasan yang mampu memikat pelancong asing serta tempatan menaikinya, malah penarik beca di sini kebanyakannya berusia lebih 50 tahun tetapi masih mengayuh kenderaan itu selagi kudrat mereka masih ada.
 
Jika Melaka berjaya membuktikan beca mampu dijadikan aset pelancongan penting, mengapa tidak di Terengganu terutama sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan.
 
Seorang penarik beca di sini, Mohamed Ismail Tahir, 58, berkata sebenarnya pelbagai usaha termasuk dalam bentuk bantuan telah dilakukan bagi menjadikan nbeca sebagai tarikan pelancongan, namun belum mencukupi untuk memastikan beca kekal menjadi aset pelancongan di Terengganu.
 
"Usaha banyak tapi kebanyakannya sekali sahaja kemudian terus senyap, pemantauan berterusan juga tiada.
 
"Bagi saya pihak terlibat jangan bagi (bantuan) sekali habis semua, bagi sikit-sikit, bulan-bulan tak apa kemudian pantau perkembangan mereka bulan demi bulan, pastikan mereka terus bertapak ke depan," katanya ketika ditemui Bernama.
 
Mohamed Ismail yang lebih 10 tahun melakukan pekerjaan itu berkata penarik beca juga perlu di'modenkan' terutama dari segi penampilan mereka seiring dengan usaha memberi nafas baharu kepada perkhidmatan beca itu sendiri.
 
"Ramai penarik beca ini sudah berusia tetapi kami tahu selok belok sejarah dan tempat di sini, semua dalam kepala. Jadi kalau kami diberi latihan melayan pelancong dengan lebih baik dan cara sampaikan maklumat dengan betul kami boleh jadi barisan depan promosikan Terengganu," katanya.
 
Seorang lagi penarik beca Yusof Abdullah, 67, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jusoh berkata pendapatan penarik beca di sini akan dapat ditingkatkan sekiranya usaha menjadikan beca sebagai aset pelancongan itu berjaya dilaksanakan.
 
"Sekali jalan saya dapat RM5 hingga RM10 bergantung kepada jauh perjalanan, kalau lebih 10 kilometer itu dapat lah RM10. Sebulan tak banyak sangat dapat kalau bulan baik dapatlah RM600 kalau tak baik adalah RM400," katanya.
 
Berdasarkan pengalaman penulis ketika bertugas di Melaka, penarik beca yang beroperasi sekitar A' Farmosa dan Bangunan Staduys memperoleh antara RM20 dan RM30 sekali perjalanan mengelilingi kawasan bersejarah itu dan ada yang memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.
 
Yusof yang mememerah kudrat mengayuh beca selama 20 tahun berkata sekiranya penarik beca memperoleh pendapatan lumayan, ia sekaligus menarik mereka yang lebih muda menceburi pekerjaan itu seperti yang berlaku di Melaka.
 
"Saya juga mahu cadangkan pihak pelancongan jadikan beca sebagai alat promosi, mereka boleh letak risalah atau apa-apa maklumat di beca bagi mudahkan pelancong dapat maklumat dengan cepat. Atau boleh juga cat atau letak poster pelancongan," katanya.
 
Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu (Tourism Malaysia Terengganu) Mohd Nasir Kushairi berkata pihak merancang melaksanakan pelbagai program bagi mengaktifkan semula beca di Terengganu.
 
"Beca sebagai sebuah pengangkutan di Terengganu sememangnya sudah tidak aktif lagi seperti dahulu, jadi kami ada rancangan jangka pendek dan panjang menjadikan beca ini barisan depan menarik pelancong ke Terengganu.
 
"Sebagai permulaan, Disember ini kami akan mengadakan program 'food trail' di mana kita bawa pelancong mengembara menaiki beca untuk merasai masakan tradisional Terengganu di beberapa kawasan di negeri ini," katanya.
 
Beliau berkata sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 pihaknya merancang pelbagai promosi pelancongan menggunakan beca dengan kerjasama pelbagai pihak seperti hotel dan syarikat swasta di negeri ini.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Azmi Razik berkata pihaknya kini mengkaji kaedah terbaik memodenkan perkhidmatan beca di bandar Kuala Terengganu, seterusnya mempertingkat taraf ekonomi penarik beca.
 
"Di Melaka kita lihat pelbagai program dilaksana untuk pengayuh beca, itu program yang baik dan kami lihat perlu dilakukan di sini. Kami akan kemukakan perancangan dan cadangan itu kepada kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
 
"Kami cadangkan lepas Payang Walk di kawasan Pasar Kedai Payang siap dibina, semua kenderaan tidak akan dibenarkan masuk dan orang ramai yang ingin ke pasar itu perlu menaiki beca atau berjalan kaki," katanya
 
Beliau berkata satu lagi cadangan ialah memberikan tender kepada sebuah syarikat mengurus perkhidmatan beca dan penarik beca akan diberi gaji bulanan dan ini sekaligus dapat menarik lebih ramai golongan muda menyertai bidang ini. - Bernama





Cari Maklumat Di Sini