Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Filem hina Nabi: Saudi mahu larang YouTube





Sebahagian paparan skrin yang menunjukkan klip filem di YouTube tidak dapat diakses oleh pengguna di Malaysia.



RIYADH - Arab Saudi memberi amaran akan ‘mengharamkan’ YouTube di negara tersebut jika Google tidak memberi sebarang reaksi terhadap permintaan agar akses kepada klip filem Innocense of Muslims yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS), disekat.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Informasi Arab Saudi (CITC) telah mengarahkan syarikat di negara terbabit untuk menyekat filem berkenaan dari Internet dan juga meminta Google menyekat kesemua sambungan YouTube yang membawa kepada filem tersebut," kata kenyataan dipetik agensi berita Saudi, SPA.

"Jika tuntutan ini tidak dipenuhi, CITC akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat seluruh laman sesawang YouTube," kata SPA yang turut memetik kenyataan syarikat telekom, yang menggesa rakyatnya melaporkan sebarang pautan yang menyediakan akses kepada filem berkenaan.

"CITC menggariskan kepentingan untuk menyambung reaksi yang positif dan patut melaporkan sebarang sambungan elektronik yang membawa kepada agama yang sebetulnya, untuk menghalang daripada menghina Nabi Muhammad dan terhadap negara kita," tambah kenyataan terbabit.

Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan telah mati setakat ini ekoran protes, yang ada kaitan dengan filem terbabit di lebih 20 negara.

Antara yang terbunuh, Duta AS ke Libya, Christopher Stevens apabila Kedutaan AS diserang minggu lalu di Benghazi.

Semalam, Arab Saudi mengutuk filem terbabit serta mengecam serangan balas terhadap perkara terbabit.

Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh telah menghalang akses ke YouTube selepas laman itu gagal mengalang filem terbabit yang telah dihasilkan oleh sekumpulan kecil pelampau Kristian di AS.

Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Yaman telah mengarahkan menyekat akses kepada semua laman sesawang yang boleh membawa kepada video terbabit.

Google turut menghalang akses ke laman tersebut di Malaysia, Indonesia, Libya, Mesir dan India.

Menteri Komunikasi Rusia juga memberi amaran akan melakukan perkara yang sama juga.

"Ia seperti bahan jenaka, tetapi oleh kerana video ini... semua akses YouTube boleh disekat di seluruh Rusia," Menteri Nikolai Nikiforov menulis di Twitter tentang filem anti - Islam terbabit.

"Jika ada sebarang keputusan mahkamah terhadap YouTube yang tidak mengeluarkan video berkenaan, aksesnya menjadi terhad."

Jurucakap laman sesawang YouTube, yang dimiliki oleh gergasi internet, Google berkata dalam satu kenyataan, mereka telah mula untuk mengurangkan akses klip terbabit yang dibuat secara persendirian berdasarkan garis panduan.

"Apabila video terbabit melanggar peraturan, kami akan membuangnya. Di mana kita telah menyatakan sesebuah video tersebut adalah salah di sesebuah negara, kita akan mengurangkan akses tersebut selepas diteliti," katanya.

Cari Maklumat Di Sini