Terima kasih kerana melayari blog ini . Kepada PENGUNJUNG sila tinggalkan identiti anda . kami akan melawat blog / facebook / twitter anda . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

JPJ sedia hantar pegawai beri penjelasan terperinci AES

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia menghantar pegawainya untuk memberi penjelasan terperinci mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di empat negeri pembangkang sekiranya terdapat permohonan daripada negeri berkenaan. 

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, setakat ini hanya dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang membuat permohonan untuk mendapatkan penjelasan. 
"Kami bersedia memberikan penjelasan lanjut berhubung AES ini supaya orang ramai lebih faham terutamanya dari segi teknikal. 


"Mungkin penjelasan sebelum ini orang ramai tidak cukup faham namun saya yakin jika diberi penjelasan, orang ramai dapat menerima pelaksanaan ini dan berharap mendapat kerjasama dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bulan Inovasi peringkat negeri, di sini, hari ini. 

Semalam akhbar melaporkan bahawa empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah akan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian mendalam dijalankan dan maklum balas daripada rakyat diperoleh. 

Ismail berkata, AES dilaksana bagi mengesan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya sekali gus diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. 

Sistem itu akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut, katanya. 
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti lokasi bagi menempatkan 831 kamera AES di kawasan strategik di seluruh negara untuk mengesan pesalah jalan raya sama ada di kawasan lampu isyarat atau melebihi had laju. 

Setakat ini sebanyak 14 kamera AES dipasang iaitu tujuh di Perak, masing-masing dua di Selangor dan Putrajaya dan tiga lagi di Kuala Lumpur. 

KASE Minta Jangan Bayar Saman AES, Sedia Peguam Jika Kes Ke Mahkamah


KUALA LUMPUR: Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menggesa orang ramai yang telah menerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk tidak membayar kompaun yang dikenakan dan KASE bersedia menyediakan peguam sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu membuat keputusan segera bagi menangguhkan perlaksanaan AES itu.
"Terdapat banyak desakan untuk AES ditangguhkan, satu meja rundingan perlu bagi memperincikan perkara ini dan keputusan perlu dibuat segera oleh Kabinet.
"Oleh itu kerajaan perlu tarik balik saman yang telah dikeluarkan sejak 13 Oktober 2012. Jika kerajaan enggan berbuat demikian saya seru mereka yang sudah menerima saman AES untuk tidak membuat bayaran kompaun sebanyak RM300 itu, ikut arahan yang tertera di kertas saman untuk pergi ke mahkamah," katanya pada sidang media dilobi Parlimen, Rabu.
Beliau berkata, KASE akan menyediakan beberapa orang peguam untuk bantu mereka yang mendapat saman AES tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, saman yang dikeluarkan mengelirukan orang ramai apabila terdapat saman yang diterima menggunakan Seksyen 79(2) tetapi kesalahan yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju.
"Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas. Pada kertas saman itu juga tertera kompaun minima adalah RM300, tetapi sebenarnya adalah tidak melebihi RM500.
"Mengikut seksyen ini juga pengguna jalan raya boleh mengunakan budi bicara mahkamah yang mana kemungkinan kompaun itu boleh dikurangkan menjadi RM50 atau boleh dibebaskan dengan amaran. Saman ini celaru dan mengelirukan, oleh itu jangan bayar, kita akan sediakan peguam untuk anda," katanya.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas turut berterima kasih kepada Pemuda Umno susulan cadangan mereka untuk AES ditangguhkan.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang KASE, Zulazmi Shariff mendakwa, pihak Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd yang menguruskan kamera AES itu menggunakan kenderaan menyerupai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).
"Maklumat yang diterima dua syarikat ini menggunakan kenderaan syarikat jenis Frontier yang mempunyai warna dan logo yang menyerupai kenderaan JPJ.
"Ini satu bentuk penyamaran. Saya minta JPJ jawab perkara ini kerana kita tidak mahu ada pihak sewenang-wenangnya melakukan sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan yang menyerupai pihak berkuasa," katanya.
Zulhazmi turut memberitahu PAS menyediakan lebih 100 orang peguam yang akan membantu mereka yang menerima saman AES itu.
ps : ADA BERANI??????????????

Kerajaan Kaji Semula Skim Gaji Penjawat Awam Mulai Tahun Depan


Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Rabu.
Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan NegeriMelaka, Datuk Wira Omar Kaseh.
Beliau berkata, kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.
Ali berkata, pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepadakerajaan pada akhir tahun ini.
"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.

Cuaca tidak menentu dijangka sepanjang November

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena hujan tidak menentu akan berlaku sepanjang November di seluruh negara disebabkan arah tiupan angin sentiasa berubah. 
Menurut jurucakap Bahagian Ramalan Cuaca jabatan itu, hujan yang membawa ribut petir di sebelah petang dijangka berlanjutan hingga awal November di sekitar pantai barat Semenanjung Malaysia terutama di negeri Perak dan kawasan Lembah Klang. 
"Di kawasan pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, dijangka berlaku peningkatan jumlah hujan pada November...Buat masa ini musim monsun timur laut masih dalam peringkat permulaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 
Jurucakap itu bagaimanapun berkata keadaan ini dijangka tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai 5 Nov hingga 6 Dis. 
"Masih terlalu awal bagi kami untuk membuat ramalan tepat sama ada keadaan hujan tidak menentu akan berlarutan hingga Disember ini," katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya akan mengeluarkan ramalan cuaca sebelum sambutan Deepavali nanti. 

Port Dickson sinonim dengan ketenteraan

PORT DICKSON, (BERNAMA) -- Port Dickson, sebuah bandar yang terkenal dengan keindahan pantainya, secara rasmi adalah juga Bandar Tentera Darat berikutan kehadiran beberapa kem, kemudahan latihan dan pegawai serta pelatih tentera di bandar ini. 
Seperti juga bandar tentera yang termasyhur Fort Knox di Amerika Syarikat, Port Dickson menjadi tempat pegawai tentera menjalani latihan asas, latihan kadet dan latihan susulan; di samping ramai pegawai tentera mengambil keputusan menetap terus di sini selepas bersara. Manakala papan tanda di sepanjang jalan pantai memberi petunjuk arah kem-kem tentera Sebatang Karah, Segenting, Si Rusa dan Sunggala. 
Bagi mereka yang memasuki bandar Port Dickson menerusi lebuh raya Seremban-Port Dickson akan disambut dengan pemandangan pintu gerbang, pesawat Caribou dan sebuah kereta kebal di luar Muzium Kor Armor Diraja Kem Sunggala. Kem Sunggala menempatkan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja.
BANDAR DENGAN SEJARAH TENTERA 
Bandar Port Dickson mendapat nama daripada seorang pegawai tertinggi British, Sir John Frederick Dickson, yang begitu sinonim dengan ketenteraan sejak tertubuhnya kompeni perintis Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac, 1933. 
Legasi warisan tentera berterusan sehingga hari ini, dan pada 2009, bandar itu dengan rasminya diisytiharkan sebagai sebuah bandar tentera darat. Selepas tertubuhnya kompeni perintis ini, Port Dickson telah melatih lebih 325,000 perajurit berbilang kaum dari seluruh negara, yang kebanyakannya mengukir nama dalam sejarah negara termasuk Allahyarham Lt. Adnan Saidi, yang meninggal dunia semasa mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia kedua. 
Sehingga kini, Port Dickson telah berkembang bersama-sama tentera darat melalui penubuhan beberapa institusi dan pusat latihan pasukan tentera darat serta Angkatan Tentera Malaysia. Malahan sejak bertahun, Port Dickson mendapat banyak faedah daripada wujudnya kemudahan latihan tentera di samping aktiviti pasukan tentera Malaysia. Di sekitar kawasan Port Dickson sahaja terdapat sembilan pusat latihan dan lima pasukan, yang menempatkan sejumlah 10,439 (statistik sehingga 1 Mac 2012) pegawai dan anggota tentera. 
KETENGAH DUA IDENTITI PORT DICKSON 
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan memastikan setiap pembangunan di Port Dickson akan mempunyai unsur-unsur yang melambangkan ketenteraan dan pantai pelancongan. Katanya buat masa sekarang, fasa pertama untuk memberi imej baru kepada Bandar Tentera Darat telah dilaksanakan dan seterusnya akan diikuti dengan fasa-fasa berikutnya bagi membangunkan Bandar Tentera Darat ini. 
Katanya, kawasan Port Dickson akan terus dibangunkan sebagai pantai peranginan negara tanpa meninggalkan entiti bandar itu sebagai Bandar Tentera Darat. "Kita akan pastikan bandar Port Dickson ini akan dijadikan sebagai dua entiti yang terkemuka iaitu pantai peranginan negara selain bandar tentera darat," kata Mohd Hassan selepas penyerahan secara simbolik kunci projek Bandar Tentera Darat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, baru-baru ini. 
KALENDAR PELANCONGAN 
Ahmad Zahid pula berkata segala perancangan dan perkembangan infrastruktur serta aktiviti tentera darat di Port Dickson akan mengambilkira kepentingan umum. "Port Dickson akan mempunyai kalendar pelancongan setiap tahun untuk aktiviti seperti upacara tattoo, pertunjukan tamat latihan dan "barrack stay" serta perbarisan hari angkatan tentera darat selain di peringkat nasional yang akan diadakan secara simboliknya di sini," katanya. 
Beliau yakin kerajaan negeri dan tentera darat yang mempunyai pelbagai idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu akan berupaya menghasilkan rancangan serta pelaksanaan mengindahkan lagi Bandar Tentera Darat sebagai lokasi pelancongan, di samping pusat sumber pembangunan tentera yang komprehensif serta berdaya maju pada masa akan datang. 
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin mengumumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina kolam renang bagi kegunaan latihan tentera serta rekreasi orang awam. Selain itu, Kolej Tentera Darat yang ditempatkan semula di sini akan terus menjadikan Port Dickson sebagai destinasi latihan ketenteraan Port Dickson, yang kini sering dikunjungi setiap hujung minggu, akan terus dengan imej yang berkonsepkan ''mesra tentera, mesra pelancong dan mesra penduduk''. 

Apakah itu asma?

Menurut pakar perubatan, asma adalah satu penyakit saluran pernafasan kronik yang mengakibatkan penghidapnya semput selain mengalami rasa ''ketat'' di dada, batuk dan lelah. 


RAWATAN 
"Terdapat dua jenis rawatan. Sama ada dengan cara melegakan dengan cepat atau rawatan jangka panjang dengan penggunaan ubat pencegahan. "Pengembang brokus (bronchodilater) adalah ubat yang boleh mengembangkan otot di saluran pernafasan bagi menambahkan kemasukan udara ke dalam paru-paru," jelas Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Kanak-Kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Katanya, asma adalah satu penyakit saluran pernafasan yang biasa dan ia penting bagi mendidik pesakit asma sejak mereka kecil lagi.

UBAT
Menurut laporan Badan Kesihatan Dunia (WHO) terdapat 330 juta pesakit asma di seluruh dunia. Asma ialah penyakit ''asimptomatik'' yang bermakna ia boleh dirawat tetapi tidak akan hilang 100 peratus. Terapi jangka panjang yang disyorkan adalah dalam bentuk steroid melalui penggunaan ''inhaler'' (alat penyedut udara).
"Ubat ini diambil sekurang-kurangnya enam bulan dan bergantung kepada serangan asma dan diagnosis doktor. Ubat ada di semua hospital kerajaan secara percuma," kata Dr Norzila.
Ubat bagi asma adalah selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang begitu ketara tetapi penggunaannya tidak bererti pesakit bebas daripada serangan asma. Seorang pesakit kanak-kanak masih boleh mendapat serangan asma semasa jangkitan virus serta situasi jerebu.


MAKANAN
Ramai pesakit asma seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada mengambil makanan yang dikatakan boleh mencetus serangan asma. Adakah benar buah-buahan seperti tembikai boleh mencetuskan serangan asma?
"Tiada bukti tentangnya. Ada yang mengalami gatal tekak setelah makan rambutan atau oren. Ais juga boleh menyebabkan batuk," jelas Dr Norzila sambil menambah bahawa terdapat bahan kimia dalam makanan yang diproses yang boleh mencetuskan serangan asma. "Bagaimanapun saya percaya faktor cuaca serta partikel udara tercemar selain daripada asap rokok boleh menyebabkan berlakunya serangan asma," kata beliau.


Lagi kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee


KUALA LUMPUR– Blogger kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee mengaku bahawa mereka pernah berhubungan intim dengan pasangan-pasangan yang lain, seperti yang dilaporkan di ‘Kwong Wah Yit Poh’.

Tan pernah membuat jemputan kepada ‘pasangan yang berminat’ di dalam blognya. Kemudian, kedua-dua Tan dan Lee akan membuat penilaian menerusi gambar yang dikirim oleh pasangan-pasangan yang lain. 
Selepas menilai gambar-gambar tersebut, pasangan yang dipilih akan diajak untuk bertemu agar masing-masing berkenalan. Seramai 100 telah memberi respon kepada jemputan mereka.

Di dalam suatu temu bual, Tan turut berkata bahawa kali terakhir mereka mempunyai hubungan intim bersama pasangan lain adalah pada awal bulan ini. 
Tetapi,  apabila ditanya berapa ramai pasangan yang telah ‘layak’ bertemu dengan mereka, Tan tidak memberi komen seterusnya.

Menurut ‘Daily Chilli’, Tan amat menghargai sokongan yang diberi oleh ibu bapa dan adik lelakinya. Tidak seperti Tan, Lee, yang bapanya meninggal ketika dia berumur 11 tahun, rasa tertekan akibat kekurangan sokongan daripada ahli keluarganya.

Semakin lama melihat pasangan ini, Tan dengan topinya, kelihatan seperti Edison Chen ketika Edison baru sahaja menjadi bintang popular di Hong Kong. Vivian Lee, mirip artis Hong Kong, Gillian Chung?

Ameng ingat derita dirotan

KALA ditimpa musibah serta dugaan dalam hidup, sokongan keluarga dan kenalan rapat amat diperlukan. Merekalah kekuatan untuk manusia dalam mengharungi liku kehidupan yang ada kala sukar untuk kita menjangkakan apa yang bakal terjadi.
Ameng Spring contohnya yang masih menjalani hukuman di Penjara Kluang lebih setahun lalu tentu tidak menjangkakan dia akan terpisah dengan anak dan isteri akibat kesilapan diri sendiri namun dia akur menerima hukuman itu sebagai ingatan kepadanya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Kini dia amat menginsafi diri dan berazam selepas selesai menjalani hukuman kelak dia akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya terhadap keluarganya.

“Saya sentiasa rindukan mereka dan saya sedar isteri dan anak sudah buktikan kasih saya mereka pada saya yang tidak berbelah bahagi dalam menempuh sudah senang hidup bersama dan ini amat menginsafkan,” katanya.

Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah, dua tahun lalu.

Pada hari raya korban yang mulia ini, Ameng tidak dibiarkan kesepian di sebalik tirai besi itu apabila dia kunjungi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, rakan artis yang juga temannya termasuk Zamani Slam, Ibnor Riza dan Umarul Iklim dan lebih penting, isteri, Sabariah Zakaria dan anak mereka, Wan Amar Haikal.

Pada pertemuan itu yang diadakan sempena Program Jalinan Kasih Aidiladha, Penjara Kluang, Ameng menghiburkan rakan banduan, keluarga mereka, kakitangan penjara dan tetamu yang datang dari jauh itu dengan lagu popularnya, Sampai Hati dan Bougenvilla. Dia menyanyikannya dengan penuh perasaan sambil memegang erat tangan anaknya yang tidak mahu berenggang dengannya. Ibnor dan Zamani turut menyanyikan lagu popular mereka, Mimpi Yang Tak Sudah dan Gerimis Mengundang.

Ameng yang sangat terharu menerima kedatangan rakan-rakannya itu menceritakan kepada mereka suratan hidup yang dilaluinya sekarang membuatkan dia sentiasa bermuhasabah diri.

“Detik yang paling saya tidak dapat melupakannya ketika saya menjalani hukuman 10 sebatan rotan sekali gus dan ketika saya hanya membayangkan kematian dan seksaan dalam kubur. Masih terasa peritnya di rotan di seluruh denyut nadi dan selama seminggu saya tidak boleh berbaring, membuatkan saya amat menyesal dan insaf,” katanya.

Selama di penjara, dia menghabiskan masanya di sana dengan mengikuti model Fasa 11 iaitu aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan yang dipanggil halaqah.

“Menerusi halaqah saya dan rakan di sini belajar pelbagai perkara termasuk bertadarus, mengaji al-Quran, marhaban, nasyid dan menyertai kelas imam muda bagi memantapkan sahsiah diri mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. Kami juga diwajibkan menyampaikan tazkirah selepas solat kepada rakan-rakan secara bergilir-gilir.

“Selepas keluar daripada penjara pada 2016, saya tetap akan jadi penghibur tetapi dengan cara berbeza. Jika dulu saya dikenali sebagai penyanyi pop tetapi selepas ini saya mahu jadi penghibur yang dapat memberikan mesej menyelitkan motivasi hidup dan nilai positif.

“Saya bukanlah mahu bertindak sebagai penasihat tetapi saya hanya mahu berkongsi kisah hidup agar dapat dijadikan teladan,” katanya.

Selangor mahu memiliki syarikat air sendiri sebelum Langat 2 dibina


KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, beliau mahu melakukan penstrukturan menjadikan syarikat-syarikat air seperti SYABAS, Puncak Niaga dan Puas milik kerajaan negeri sebelum bersetuju dengan pembinaan loji penapisan air Langat 2.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Abdul Khalid mengatakan projek tersebut tidak akan memberi sebarang manfaat sekiranya syarikat air itu masih belum dimiliki kerajaan negeri.
“Kita mahu menguruskan air seperti di negeri-negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan dan lain-lain, di mana kerajaan negeri mempunyai pemilikan dalam syarikat air,” kata Khalid.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah ahli parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Hattan rujuk semula dengan bekas isteri


 Penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin telah menyatakan kein ginannya untuk merujuk kembali dengan bekas isteri pertamanya, Arianie Mohd Abidin.
"Saya tidak pernah lupakan dia meskipun sudah sembilan tahun berpisah. Setiap hari saya berdoa agar jodoh kami bertaut semula andai diizinkan Tuhan, jadi tidak mustahil jika kami berkahwin dalam masa terdekat," ujarnya 
Penyanyi rock berusia 48 tahun ini mengakui dia memerlukan Arianie di sisi kerana hidupnya tidak lengkap, malahan tidak sanggup melukakan hati anak lelaki tunggal mereka, Adam Eiman yang sentiasa berharap hubungan ibu bapa mereka bertaut kembali.
"Saya pernah menyuarakan hasrat mahu dia kembali kepada saya, tetapi dia minta saya bersabar dan berikan masa. Kini saya nampak kesungguhannya untuk kembali membina keluarga kami," ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu "Mahligai Syahdu" itu.
Hattan dan Arianie telah berkahwin pada 17 Disember 1996 dan bercerai talak satu pada 10 Mac 2006 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Selepas bercerai, Hattan telah mengahwini Farah Asyikin Othman pada 11 November 2011 dan bercerai pada 12 Januari awal tahun ini. Manakala Arianie tidak pernah berkahwin lain sejak itu.
Sementara itu, Hattan memberitahu, anaknya tidak boleh menerima jika dia atau ibunya keluar dengan orang lain.
"Rasa tidak senang hati Adam saya hanya ketahui ketika kami menunaikan umrah. Saya bertanya apakah doa dia di depan Kaabah. Dia meminta agar mak dan ayah tak jadi berkahwin dengan pasangan masing-masing.
"Ia membuat saya sedar dan sebagai seorang bapa, saya sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaannya."
Tambahnya, kesilapan dahulu ketika berumah tangga telah membuka mata dan mindanya untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik.

Anne Ngasri gesa kemuka bukti tentang kahwin ahli politik


Aktres tempatan, Anne Ngasri menggesa individu yang mendakwa kononnya dia telah mendirikan rumah tangga sekali lagi bersama seorang ahli politik agar tampil dan kemukakan bukti tuduhan tersebut.
Dipetik daripada laporan mStar, Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri berkata, dia terkejut dengan kewujudan gosip tersebut, lebih-lebih lagi selepas kegagalan hubungannya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.
"Tidak mungkin hubungan saya baru sahaja putus dan kini terus mahu berkahwin. Jika benar apa yang diperkatakan itu, sila tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kepada saya," jelas Anne selepas ditanya tentang khabar angin dia telah berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki bergelar VIP tersebut.
Aktres berusia 28 tahun ini turut ditanya sekiranya dia berasa serik untuk bercinta sekali lagi selepas kegagalan rumah tangga dan serta hubungan cinta sebelum ini.
"Saya masih seorang manusia biasa yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Perkahwinan juga adalah dituntut dalam agama kita. Saya sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik satu hari nanti," ujarnya lagi.
Sebelum ini Anner pernah mengahwini Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010.
Pasangan ini telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3, dan Nazharah Afrozah, 2.

Pawagam Coliseum Theatre dibuka kembali

 Berita baik buat penggemar-penggemar filem apabila pawagam Coliseum Theatre yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman bakal dibuka kembali selepas kerja-kerja membaik pulih pawagam tersebut sudah siap dan akan mula beroperasi bermula pada 1 November ini.
Merupakan pawagam tertua di negara ini, Coliseum Theatre akan menjadi cawangan terbaru Lotus Five Star Cinemas dimana perasmian pembukaan pawagam tersebut bakal diadakan selepas dua minggu pawagam itu beroperasi.
Sebelum ini, Coliseum Theatre telah ditutup pada 25 April 2012 untuk tujuan pengubahsuaian, dan dijangka akan dibuka pada 4 Mei 2012.
Namun tarikh pembukaan tersebut terpaksa ditunda dan dikhabarkan pawagam tersebut tidak akan dibuka kembali, sehinggalah syarikat Lotus Five Star mengambil keputusan untuk membeli Coliseum Theatre dan tarikh pembukaan pawagam tersebut telah ditetapkan pada 1 November 2012.
Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum ini dikenali sebagai Batu Road dimana ketika itu terdapat beberapa pawagam berdekatan seperti LFS Capitol Selayang yang terletak di Chow Kit dan Pawagam Odeon Kuala Lumpur berdekatan dengan persimpangan Jalan Campbell, serta Coliseum Theatre yang terletak berhampiran Dataran Merdeka.
Pawagam Coliseum Theatre merupakan pawagam pertama dibuka di Malaysia iaitu pada tahun 1928.

Mizz Nina dikecam ekoran kesilapan menulis nama Allah

 Tidak terlepas daripada mentaliti peminat yang agak obses dengan kesilapan seorang artis, ianya turut berlaku kepada penyanyi hip-hop wanita nombor satu Malaysia, Mizz Nina, apabila dia sekali lagi dikecam ekoran kesilapan menulis nama Allah S.W.T kepada Allah S.A.W.
Penyanyi yang berusia 33 tahun ini telah dikecam kerana meletakan baris ayat di dalam kulit album "Take Over" yang berbunyi "I would like to say thank you to Allah S.A.W.", sedangkan dia sepatutnya peka dengan ejaan betul iaitu Allah S.W.T.
Pemilik nama sebenar Shazrina Azman dengan tenang menjawab segala tohmahan yang dilemparkan sebelum ini berkaitan isu sensitiviti peminatnya yang beragama Islam.
"Saya sudah menjelaskan kepada semua terutama sekali keluarga saya. Malah suami saya, Noh turut memahami insiden ini. Saya juga telah menarik diri daripada membuat persembahanan di konsert tajaan jenama minuman arak tersebut.
"Saya tahu mereka yang suka menjatuhkan orang lain ini akan terus bercakap dan mencari kesalahan saya daripada sudut lain. Apa yang penting, saya telah menjalankan apa yang perlu saya lakukan," ujarnya. 

foto : layan je...relief tension

 Angel Falls, Venzuela
 Angkor Wat, Cambodia
 Machu Picchu, Peru
 Leaning Tower of Pisa, Italy
 London Eye, UK
 Taj Mahal, India
 Fr├ęgate Island, Seychelles

Yellowstone National Park, USA

Orang muda muflis di kalangan Melayu paling tinggi

 KUALA LUMPUR- Jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah di Malaysia yang diisytiharkan muflis meningkat hampir setiap tahun sejak tahun 2001 terutamanya dikalangan orang Melayu, kata Datuk Nadzim Johan. 
Setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dipetik berkata dalam akhbar Berita Harian, hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baru pada suku tahun ini yang direkodkan di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) adalah Melayu. 
“Aliran ini serius dan membimbangkan,” kata Syed Nadzim. 
Manakala kaum Cina pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi sebanyak 34 peratus, kaum India 9 peratus dan lain-lain kaum adalah 10 peratus. 
“Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah PPIM juga mahu Akta Kebangkrapan 1967 dan Kaedah Kebangkrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai,” tambah beliau lagi. 
Berdasarkan statistik daripada MdI bermula daripada 2007, jumlah kes kebangkrapan yang dicatat ialah 13,238 disusuli peningkatan pada 2008 kepada 13,855 dan terus meningkat pada 2011 kepada 19,167. 
Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MdI sebagai punca kepada pengisytiharan muflis ini sejak 2005 hingga Jun 2012 adalah disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah sewa beli kenderaan sebanyak 25 peratus, keberhutangan lain sebanyak 21 peratus, pinjaman peribadi 13 peratus dan pinjaman perumahan 13 peratus serta lain-lain. 
Disamping itu, negeri yang paling mencatatkan banyak kes muflis sepert yang direkodkan MdI adalah Selangor dengan jumlah 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes keseluruhan suku tahun ini. 
“Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis,” tambah beliau lagi.

Patung lilin ET terbaru di Madame Tussauds





 Siapa tidak kenal dengan watak E.T yang comel dari filem "E.T the Extra-Terrestrial" tahun 1982 yang berjaya memikat hati ramai?
Sebagai menyambut ulang tahun filem terebut yang sudah pun menjangkau 30 tahun, patung lilin E.T menjadi tambahan terbaru kepada koleksi patung lilin di muzium Madame Tussauds di London baru-baru ini.
Patung lilin tersebut diletakkan di atas basikal dengan berlatarbelakangkan sebuah pemandangan yang mengingatkan pengunjung kepada babak popular filem, di mana Elliott dan E.T sedang menaiki basikal terbang menuju ke langit.
Menurut portal Today's THV, patung lilin E.T memakan masa dua bulan untuk disiapkan dengan kos sebanyak AS $80,000 (RM245,000). Cabaran terbesar sepanjang membuat patung lilin tersebut adalah mendapatkan saiz yang betul.
Kini, patung lilin itu berdiri dengan ketinggian 3.7 kaki.
Selain London, patung lilin E.T turut akan dipamerkan di muzium Madame Tussauds di Los Angeles, Sydney, Amsterdam dan Berlin.

Kelebihan memakan petai

Keenakan petai sebagai ulam, jeruk, mahupun menjadi bahan dalam masakan seperti sambal tumis udang atau sambil ikan bilis dan sebagainya, membuatkan penggemar-penggemar petai berasa lapar. 

Di sebalik keenakan petai bersama kesan bau mulut yang kurang menyenangkan, petai turut mempunyai khasiat dan nilai perubatan yang tinggi. . 

Pokok petai merupakan spesis pokok asli yang tingginya sekitar 30 meter, dan banyak tumbuh di kawasan hutan Malaysia, Indonesia dan Thailand. Buah petai mempunyai kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding buah-buah hutan yang lain. Selain itu, buah petai mengandungi kalsium, fosforus, zat besi serta kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C (vitamin C boleh jadikan anda awet muda!). . 

Yang paling berkhasiat ialah petai yang segar dan besar buahnya. Jadi jika memilih petai di pasar tu, pilihlah yang bijinya nampak besar dan segar, itulah yang terbaik. . 

KHASIAT PERUBATAN PETAI

Biji Petai
* Khasiatnya ialah apabila dimakan dapat merawat masalah hati (liver), busung, bengkak buah pinggang, kencing manis (diabetes). Juga dapat membunuh cacing dalam perut serta usus, lalu keluar bersama najis.

Daun
* Daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai, kemudian airnya dibuat minum. 

Akar (kulit akar)
* Ini khusus untuk rawatan kencing manis (diabetes), juga direbus kemudian airnya diminum. Amalkan selalu. 

Khasiat Petai Belalang
Petai belalang mempunyai buah yang kecil. Petai Belalang ini boleh didapati di kawasan kampung. Petai Belalang ini baik bagi mereka yang hendak merawat masalah buah pinggang, caranya ialah dengan mengeringkan sejumlah petai belalang. Setelah itu masukkan petai-petai yang telah dijemur kering itu ke dalam air panas. Minumlah ia setelah membiarkan seketika. Sangat mujarab. Bagi sesiapa yang ada masalah buah pinggang, bolehlah cuba. Setelah beberapa kali meminumnya, boleh jumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

Jennifer Lopez jadi 'mangsa pakaian' lagi!






 Penyanyi terkenal dan seksi, Jennifer Lopez berdepan saat memalukan apabila bajunya terlondeh sehingga menampakkan payudaranya ketika mengadakan konsert di O2 Arena, London, baru-baru ini.
 insiden tersebut berlaku ketika J.Lo sedang menari dengan memakai jumpsuit labuci, malangnya secara tiba-tiba dia hampir tergelincir lalu menyebabkan bajunya terlondeh di bahagian depan.
Menyedari payudaranya terdedah, penyanyi yang terkenal dengan lagu seperti "Dance Again" dan "On The Floor" dengan pantas membetulkan bajunya itu dan meneruskan persembahannya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Ini bukanlah insiden pertama buat J.Lo kerana sebelum ini perkara yang sama berlaku ketika mengadakan persembahan di Itali dengan pakaian yang hampir sama.
Walaubagaimanapun insiden tersebut tidak memberi kesan terhadap persembahan dan sambutan daripada peminat. Malah J.Lo sempat menulis di Twitter dan mengucapkan terima kasih kepada yang hadir.
Dalam perkembangan lain, J.Lo dijadualkan mengadakan konsert Jennifer Lopez 'Dance Again World Tour' Live In Malaysia 2012 pada 2 Disember akan datang, jam 8 malam, bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Tiket boleh didapati dengan harga RM168, RM268, RM288, RM368, RM528, RM628 dan RM658 di Ticket Charge dan Air Asia Red Tix.

Amy Search kecewa restoran Cheng Ho ditutup

 Penyanyi lagenda rock tanah air, Amy Search meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila terpaksa menutup Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju baru-baru ini.
Menurut laporan , restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina yang sudah beroperasi selama empat tahun itu terpaksa ditutup kerana mempunyai pelbagai masalah.
"Saya sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup," katanya.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, dia memulakan perniagaan tersebut dengan modal sebanyak RM250,00 empat tahun lalu. Dia kemudiannya telah menyerahkan segala urusan perniagaan kepada seorang rakan namun ia berdepan dengan pelbagai masalah.
Namun Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Cheng Ho sebelum ini, oleh itu tiada pihak lain yang boleh menggunakan nama tersebut.
Dalam pada itu, Amy memberitahu bahawa kini dia sedang mencari pelabur baru untuk membuka kembali restoran itu di lokasi lain.
Terdahulu, pada tahun 2010 pihak Mahkamah Seksyen Sivil telah memerintahkan Amy untuk membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada Nik Zahir Nik Mohd Idris yang menfailkan saman bagi pihak anaknya Nik Zakwan, 6, yang melecur pada bahagian belakang badan selepas terkena kuah tomyam akibat kecuaian pekerja restoran itu.

Perlumbaan bas jadi kegilaan penonton hujung minggu

 Aksi berani peserta memandu bas mengasak pesaing untuk merebut gelaran juara pertandingan itu

PERLUMBAAN bas. Mungkin kedengaran pelik, tetapi itu antara satu acara sukan yang menjadi kegilaan sebahagian peminat sukan pemotoran yang tinggal di bahagian timur Amerika Syarikat (AS).

Kebiasaannya pelumba menjadikan bas sekolah yang telah diubahsuai sebagai jentera perlumbaan.
Uniknya, litar perlumbaan mereka tidaklah litar tetap atau seperti yang anda bayangkan. Dan yang pasti bukan seperti Litar Antarabangsa Sepang.

Tetapi litar perlumbaan bas lebih menarik, bukan sahaja berlumba dalam litar bulatan tetapi ada juga yang diadakan di litar berbentuk angka lapan.

Sukan ini sangat terkenal di AS bahkan, setiap kali ia diadakan, sudah pasti kehadiran penyokong tidak pernah mengecewakan.

Sentiasa ada pengikut yang setia dan tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan kehebatan pemandu yang lagaknya tidak ubah seperti Michael Schumacher.

 Seorang pelumba memakai pakaian badut sebagai gimik Pelbagai warna dan slogan tertera pada bas mempamerkan identiti peserta
 Aspek keselamatan tetap diutamakan

SEPERTI sukan permotoran lain, perlumbaan bas tidak terkecuali daripada peraturan ketat terutama melibatkan soal keselamatan pelumba.

Mereka wajib mengenakan topi keledar, pakaian yang sesuai, tali keselamatan pula tidak boleh dibuka, sekiranya tidak lengkap, pelumba boleh disingkir dan penyertaan secara automatik terbatal.

Bahkan jika perlu, mereka akan digantung terus daripada menyertainya pada masa akan datang. Kerana itu juga, had kelajuan sebuah bas ditetapkan tidak melebihi 60 kilometer sejam.

Walaupun dengan kelajuan seperti itu, kemalangan pasti sukar dielak. Tetapi itu satu kelebihan untuk mereka yang mencari kejuaraan.

Dalam erti kata lain, kemalangan yang berlaku akan mengurangkan jumlah kenderaan di atas litar dan akhirnya siapa yang tinggal, maka pelumba dialah yang akan dinobatkan juara.

Namun, perlu diingat, hanya mereka yang benar-benar berpengalaman dan mengetahui selok-belok perlumbaan sahaja dibenarkan beraksi.

SKMM Sekat 1,675 Laman Sesawang



KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,675 laman sesawang telah disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah itu 1,585 darinya merupakan laman sesawang yang memaparkan maklumat peribadi 'pishing'.
Manakala, bagi tahun 2011 pula sebanyak 1,475 laman sesawang telah disekat.
Joseph berkata, tindakan itu sebagai langkah penguatkuasaan yang diambil SKMM bagi menyekat laman sesawang, portal dan blog yang menyebar fitnah.
"Secara amnya semua undang-undang dinegara ini diterima pakai dalam menangani perlakuan sesuatu kesalahan tanpa mengambil kira perantaraan atau platform yang digunakan.
"Justeru, kandungan di media portal adalah tertakhluk dibawah peruntukan undang-undang negara seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan" katanya ketika menjawab pertanyaan lisan, Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang mahu mengetahui bentuk tindakan yang diambil oleh SKMM terhadap blog -blog yang menabur fitnah serta sejauh mana pemantauan bagi memastikan penulis blog mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Beliau berkata, SKMM sentiasa memantau dan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
"Di bawah seksyen tersebut,sebanyak 32 kertas siasatan telah dibuka pada 2011.
"Manakala bagi Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 74 kes telah disiasat melibatkan media baru," katanya.
Menurutnya, antara tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SKMM termasuk membuat laporan kepada pihak pentadbir laman sesawang untuk mengeluarkan atau mengalihkan kandungan yang diadukan, mengeluarkan notis amaran kepada pengendali laman web dan menyekat akses kepada laman web terlibat.
"Sekiranya didapati melanggar undang-undang bertulis negara ini, tindakan menyekat akses kepada laman sesawang turut dilakukan, terutamanya untuk laman sesawang yang berpangkalan di luar negara," katanya.

Trafik TRG -> KL melalui LPT [ Trafik Raya ]

                                            foto jam 2.00 am di Jerangau - Jabor

                                                    foto : Jerangau - Jabor


                                                 foto : pukul 6.50 am Lebuh Raya Karak



Balik kg raya....kena ikan celup tepung









Telur ayam sebesar guli


Zaiton menunjukkan berbandingan telur ayam kampung yang dimilikinya dengan telur ayam biasa.


KOTA TINGGI  - Seorang ibu tunggal di Kampung Teluk Jeri Luar, Tanjung Sedili di sini, menggemparkan penduduk apabila memiliki ayam kampung yang mengeluarkan telur bersaiz sebesar guli.

Zaiton Mat Amin, 62, berkata, dia yang berasal dari Terengganu gemar membela haiwan ternakan sejak muda lagi, malah aktiviti tersebut telah dijadikan hobinya untuk mengisi masa lapang.

Menurutnya, kira-kira tiga tahun lalu, perkara aneh telah berlaku apabila ayam yang dibelanya mengeluarkan telur lebih kecil berbanding saiz telur ayam biasa.

“Kebanyakan telur tersebut bersaiz telur puyuh dan yang paling kecil adalah sebesar guli. Ada orang cakap,  ayam jantan sahaja yang akan mengeluarkan telur kecil, namun berbeza pula dengan ayam saya kerana yang bertelur itu ayam betina, ibu ayam.

“Malah, kesemua orang yang datang melihat telur ini berasa pelik kerana saiznya yang begitu berbeza. Tetapi, bagi saya dan keluarga ia sudah menjadi kebiasaan kerana boleh dikatakan setiap bulan pasti ayam saya akan mengeluarkan telur dalam saiz tersebut,” katanya semalam.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia juga memiliki lebih daripada seekor ayam yang boleh mengeluarkan telur bersaiz kecil itu dan kesemuanya disimpan di dalam reban bersebelahan kediamannya.

Menurutnya, tidak seperti telur ayam biasa, telur tersebut mempunyai perbezaannya di mana ia lebih hanyir manakala isinya bewarna putih dan tidak mempunyai kuning telur.

Zaiton berkata, bagi dirinya, telur tersebut dimakan begitu sahaja kerana yakin ia boleh menyembuhkan penyakit.

“Untuk sebiji telur ini saya menjualnya dengan harga RM3. Malah, kebanyakan mereka yang mencari telur ini adalah untuk tujuan berubat.

“Tambahan pula, ia tidak membusuk, sebaliknya jika disimpan dalam tempoh yang lebih lama, isinya akan mengering dan ia menjadi ringan. Tidak seperti telur lain apabila disimpan lama ia akan rosak,” katanya.

Filem Shah Rukh Khan disiarkan TV3 kelirukan umat Islam, promosi pluralisme


KUALA LUMPUR— Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendakwa wujud penghinaan kepada umat Islam di Malaysia ekoran penayangan filem “My Name is Khan” lakonan Datuk Shah Rukh Khan oleh stesen TV3 semalam tatkala sambutan Aidiladha berlangsung.
ABIM sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa penayangan filem pada hari kedua raya Aidiladha tersebut tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia kerana cuba mengetengahkan fahaman Islam Liberal dan pluralisme agama yang mengelirukan.
“Penayangan filem tersebut membawa mesej yang mengelirukan,” kata ABIM dalam satu kenyataan dikirm kepada The Malaysian Insider hari ini.
ABIM turut menegaskan filem tersebut tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan dengan syariat sambil menyelar pihak TV3 yang tidak terlebih dahulu membuat kajian sebelum menayangkannya.
“Watak utamanya dibawa oleh Shah Rukh Khan jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.
“Sebagai contoh,adegan hero yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampuraduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam,” kata ABIM lagi.
NGO tersebut turut mendakwa, filem tersebut akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat Islam di Malaysia kerana pendekatan yang digunakan dalam filem tersebut mewujudkan satu lagi kekeliruan menerusi konsep  ‘Islam Liberal’.
“Fahaman Islam Liberal ini pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri.”

ps : Persoalan BANGANG!! di sini ...shah rukh khan?? mohd ali rustam?? sewaktu dengannya??? [ Datuk ]

Cari Maklumat Di Sini