BESUT - Aliran trafik di laluan menuju ke daerah Besut dan Bandar Jerteh dari arah Kuala Terengganu diubah suai pada Khamis dan Ahad ini bagi melancarkan pergerakan trafik sempena perayaan Hari Raya Haji, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria dalam kenyataan hari ini berkata  Khamis ini, jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu, Kelantan di Bandar Jerteh akan dibuka kepada dua lorong laluan membabitkan jalan utama di atas Jambatan Jerteh.
Pengguna jalan raya tidak perlu berhenti untuk mematuhi lampu isyarat di simpang tiga Jerteh-Kampung Raja sebaliknya dikehendaki mengikut lorong kiri dikhaskan untuk terus ke Jambatan Jerteh menghala ke Kota Baharu, katanya.
Beliau berkata bagi mengelakkan kesesakan berlarutan, pengguna jalan raya juga disaran menggunakan jalan alternatif menerusi Jalan Pantai dari Penarik ke Kampung Raja untuk menghala ke Kelantan melalui Kuala Besut.
Pada Ahad pula, Kamaruddin berkata kawasan yang sering berlaku kesesakan iaitu di Jambatan Jerteh menghala ke arah Kuala Terengganu pula akan dibuka dua lorong.
Katanya polis akan memantau dan meletakkan papan tanda di sepanjang jalan tersebut bagi kemudahan pengguna jalan raya.- Bernama