Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

DOA PEMAAF MUSTAJAB



KUALA LUMPUR: Ulama sependapat bahawa sifat saling bermaafan, antara sifat luhur yang perlu diterap pada setiap umat Islam.

Selain doa diterima Allah, kehidupan mereka di dunia dipermudahkan Allah, serta diberi rezeki tidak disangka-sangka.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talib, yang berkongsi pendapat itu berkata orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain sangat disukai Allah SWT.


Tambahnya, bukan senang bagi seseorang untuk memberi kemaafan, sekiranya tidak mempunyai sifat kesabaran yang tinggi dan berilmu.

“Sebab itulah Allah mahukan umatnya menuntut ilmu. Apabila seseorang itu berilmu, dengan berlapang dada akan memaafkan kesalahan orang lain kerana yakin dengan janji Allah akan memberi ganjaran di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Katanya, manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, atas dasar itulah Allah memerintahkan umatnya bersabar dan memaafkan kesilapan orang lain seperti mana yang diterangkan dalam al-Quran.

Tan Sri Abdul Kader, berkata firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 185 bermaksud: Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Tambahnya, Allah suka umatnya berbuat baik seperti firmanNya dalam surah al-Imran dalam ayat 134 bermaksud: Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.

 
Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Ustaz Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting memberi didikan agama kepada anak mereka sejak  kecil, dengan menyemai nilai murni supaya dipraktikkan dalam kehidupan setelah dewasa.

Manakala amalan meminta maaf dan sifat pemaaf perlu menjadi budaya bagi mengekalkan keamanan negara yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum dan fahaman agama.

Menurut Ustaz Abdul Karim, sifat pemaaf memberi banyak manfaat antaranya hati mereka bersih, wajahnya berseri-seri serta ramai suka mendekati dirinya.

“Sedangkan apabila seseorang itu suka berdendam, akan hilang seri wajahnya, cepat dapat penyakit dan hidupnya sering resah gelisah,” ujarnya.

Katanya, selagi diberi peluang panjang umur, segeralah bertaubat, memberi keampunan kepada musuhnya kerana ini akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Namun begitu Ustaz Abdul Karim menambah, memberi kemaafan bukanlah satu perbuatan mudah untuk dilakukan seseorang seperti mana firman Allah dalam surah Asy-Syura, ayat 43 yang bermaksud: Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.

Sementara itu, Pendakwah dan Perunding Cara Keluarga, Ustazah Zawiyah Hassan, berkata pasangan suami isteri perlu membuang sifat ego, sebaliknya mengamalkan sikap saling hormat-menghormati dalam usaha mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melahirkan rasa kesal kerana kadar perceraian pasangan Islam meningkat setiap tahun.

Katanya, ini kerana suami isteri berkenaan tidak dapat menahan sabar apabila tercetus pertengkaran dan mengambil keputusan untuk berpisah.

“Perselisihan sudah menjadi lumrah dalam sebuah rumah tangga. Setiap pasangan perlu bijak memainkan peranan agar tidak berpanjangan dengan mencari jalan penyelesaian, sedia mengaku kesilapan diri dan memohon kemaafan,” ujarnya.

Katanya, rumah tangga Rasulullah adalah sebaik-baik contoh seperti mana diceritakan isteri Baginda, Aisyah. Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul sesiapapun, tidak juga isteri dan pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah.

Baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah.


Menurut Ustazah Zawiyah, sesiapa yang berupaya menahan kemarahan bererti dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan sebenar.

Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah termasuk golongan lemah, sentiasa mengikut syaitan yang dilaknat Allah.

Beliau memetik sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Bukanlah orang yang kuat itu dinilai dengan kekuatan dalam pergaduhan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.


Tazkirah

Muslim digalak semai sifat pemaaf

ALLAH berfirman yang bermaksud: Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan (Surah Ali-Imran, ayat 134). Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsunya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.

Perlu difahami, walaupun setiap insan muslim digalak menyuburkan diri dengan sifat pemaaf, namun diingatkan bahawa Allah juga menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri serta membalas kezaliman itu.

Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga. Sebaliknya dituntut menyemai sifat maaf dan bertolak ansur.

Allah berfirman bermaksud: Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim. (Surah as-Syuaara ayat 39-40).

Setiap individu Muslim perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain seperti sikap Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah s.a.w.


Sifat pemaaf sering dilupakan

SIFAT pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan sifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan (Surah Ali-Imran, ayat 134).Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.

Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam. Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggap­nya sebagai satu rencah kehidu­pan.

Setiap individu muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah s.a.w.Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya.

Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.Sayidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Sayidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah. Lalu, turun wahyu yang bermaksud: Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah.

Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi (Surah An-Nur, ayat 22).Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.

Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama. Sebaliknya jika kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

Pemaaf Rasulullah s.a.w Aisyah pernah menyatakan: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah (riwayat Muslim).

Anas bin Malik menceritakan: Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran.

Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata, Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu (riwayat Muttafaq Alaih).

Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membuatkan pelaku merasa malu, seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.

Marilah kita sama-sama bermuha­sabah dalam menangani konsep bermaafan ini. Walaupun kalimah maaf sukar untuk dilafazkan, tapi berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

sumber

Cari Maklumat Di Sini