Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

'Ibu Mertuaku!'



Dapat mentua seperti 'Ibu Mertuaku!'



Soalan
Sewaktu saya kecil, saya menonton filem Ibu Mertuaku lakonan P. Ramlee, Sarimah dan Mak Dara Saya selalu terfikir adakah di dunia ini ibu mentua sekejam itu? Rasanya macam tak logik saja. Tapi kini, setelah berkahwin saya dapati kisah itu amat benar kerana segalanya tertimpa ke atas diri sendiri. Saya berasa terlalu sedih kerana ibu mentua bersikap kejam sejak awal perkahwinan lagi. Sudah pelbagai cara saya lakukan untuk menawan hatinya namun gagal.Adakah saya gagal menjadi menantu yang baik atau sememangnya ibu mentua yang tidak layak bergelar ibu mentua?

Jawapan

Oleh kerana anda tidak menceritakan secara terperinci kezaliman apa telah ibu mentua lakukan, saya hanya mampu menceritakan satu kisah yang pada saya tidak kurang hebatnya. Kisah ‘Ibu Mertuaku’ mungkin rekaan pengarah tetapi apa yang akan saya ceritakan ini benar-benar berlaku.Moga-moga kita mendapat motivasi terbaik dalam mendepani masalah kita pula.
Kisah ini mengenai Puan A, seorang penjawat awam, sudah berumah tangga dengan jejaka idaman hatinya berasal dari negeri P dan dikurniakan dua anak. Suami A juga penjawat awam di kementerian berlainan.
Percintaan yang murni akhirnya diizinkan ALL AH ke jinjang pelamin. Alhamdulillah, kebijaksanaan suami merancang kehidupan meletakkan rumah tangga kami aman bahagia walaupun sesekali terjadi juga perselisihan pendapat.Adatlah kan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kita manusia.
Sepanjang bergelar isteri, suami tidak pernah sembunyikan apa-apa kecuali satu perkara iaitu ibu bapanya tidak suka bermenantukan orang negeri C. Kata ibu mentua, orang negeri C suka kawal suami atau bahasa mudahnya queen control, suka amalkan ilmu guna-guna atau ilmu penunduk dan lebih cenderung sesama keturunan selain kalau berkahwin dengan orang negeri C, alamatnya tak balik kampunglah.

Macam mana saya tahu perkara ini? Suatu hari suami dipanggil pulang untuk berbincang perihal adiknya yang akan dipinang orang. Perbincangan pada malam itu disertai semua ahli keluarga. Sebagai menantu saya hanya mendengar.

Mulanya perbincangan itu berjalan dalam suasana menggembirakan. Maklumlah adik ipar saya akan dipinang seorang lelaki anggota keselamatan berpangkat. Bincang punya bincang, ayah pun bertanya asal lelaki itu. Apabila adik menjawab orang negeri C dia berkata, “Apalah kamu semua ini, tak ada orang lain ke? Asyik-asyik orang C, balik-balik orang C. Apa dah tak ada orang lain? Kamu bukan tak tahu mak kamu tak suka orang sana."

Semakin lama semakin panas perbincangan malam itu. Adik ipar saya sudah mula muram. Hasrat dan cita-cita untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan seperti terhalang.

Saya terkejut, lalu memandang suami seperti meminta penjelasan. Apa kurang dan buruknya orang negeri kelahiran dan tempat saya dibesarkan? Suami seperti serba salah. Pasti ada sesuatu yang dia sembunyikan selama ini.

Barulah saya tahu segala-galanya apabila sama ada sengaja atau tidak, inilah antara lain kata-kata ibu mentua yang saya dengar dan ingat sehingga ke hari ini, "Siapa kata mak ayah dulu setuju abang kamu kahwin orang C? Tapi masa itu nak buat macam mana, abang kamu dah kemaruk sangat.

Kalau ikutkan, kami tak ingin bermenantukan orang C. Faham?” Berderau darah saya. Tubuh menggeletar menahan sebak. Tak sangka, ruparupanya saya adalah menantu tidak diingini.

Tanpa sepatah kata saya terus meluru ke dalam bilik, menangis semahu-mahunya. Sampai hati suami menipu dan memperdayakan saya selama ini. Pastinya, begini jugalah keadaannya sewaktu perbincangan suami dengan keluarganya sebelum saya dipinang.

Dalam perjalanan pulang, saya ambil kesempatan bertanya apa kesudahan perbincangan malam tadi walaupun sebenarnya saya hendak bertanya yang lain.

“Ini soal jodoh, kita nak buat macam mana? Kalau adik dah suka, restu sajalah. Apa pula nak pilih-pilih orang sini ke orang sana. Ini bukan nak beli durian. Kita suka tapi tuan punya badan tak suka, nak buat macam mana,” ujar suami memberi jawapan selamat.

Satu yang saya kagumi tentang suami ialah dia pandai menyelesaikan masalah dan memujuk. “Awak kecil hati malam tadi, ya?” lembut suami bertanya.

“Saya juga tak sangka abang sembunyikan cerita sebenar. Kan baik kalau abang terus terang sejak awal, senanglah saya buat persediaan. Ini tidak, saya aje yang terhegeh-hegeh. Tak reti malu mengendeng
kasih sayang mentua.”
Air mata saya mula mengalir.
"Apa salah kami orang C sampai ibu dan ayah tak suka sangat? Jijikkah kami sedangkan kami juga manusia. Berapa ramai orang C yang menganiaya hidup orang lain dan berapa ramai pula orang luar negeri C yang baik hati dan tidak menyeksa hidup orang lain? Bukan kira orang mana bang, yang penting iman dan didikan,” saya curahkan semua yang terbuku.

Melihat saya diam, suami pun berkata, "Abang minta maaf bagi pihak ibu dan ayah. Sebenarnya mereka tak benci orang mana pun, cuma cerita pahit yang disimpan menjadikan mereka sedikit sangsi dengan orang C, takut pisang berbuah dua kali. Dulu mak saudara abang iaitu adik kandung ibu bersuamikan orang C. Awal hidupnya bahagia tapi lama kelamaan menjadi sebaliknya.

Perkahwinan mereka tiada anak.” Cerita suami seterusnya, suatu hari Mak Teh dihantar pulang ke kampung dengan alasan suaminya banyak kerja, balik lewat malam dan kadang-kadang tak balik langsung. Tinggallah Mak Teh buat sementara bersama ayah dan ibu. Dua minggu selepas itu, Mak Teh terima surat cerai talak tiga.

Mak Teh menderita makan tak selera, tidur tak lena dan hidup bertemankan air mata. Penderitaan Mak Teh berpanjangan dan akhirnya dia meninggal dunia membawa bersama-sama penderitaan batin yang ditanggung. Kesengsaraan hidup Mak Teh menjadikan ibu dan ayah takut untuk bersaudara dengan orang C.

“Lagi satu abang nak beritahu, apa yang lebih membimbangkan ibu dan ayah apabila dapat tahu Mak Teh bukan sahaja diceraikan dengan talak tiga tapi jodohnya dikunci dengan ilmu sihir,” sambung suami, membuka rahsia.

Saya terkejut mendengar apa yang diceritakan tetapi saya juga mesti membela orang negeri saya.
“Tidak semua orang macam tu, bang. Kalau semua orang C macam ibu dan ayah takutkan, maka ramailah yang membujang atau andartu.

Hati manusia tak ikut negeri. Macam yang saya kata tadi, ia bergantung kepada iman dan didikan seseorang.
Ayah dan ibu macam lebih takutkan manusia daripada ALLAH. Ajal maut DIA yang tentukan. Kalau DIA kata janji dah sampai, tengah makan pun boleh mati, bukan disebabkan ilmu orang C ataupun apa.” Suami pantas menjawab, “Abang dah jelaskan semuanya, keluarga kita sebagai bukti.
Awak tak pernah bantah kalau abang ajak balik kampung. Awak baik dan taat pada ibu dan ayah abang. Awak seorang kakak dan adik ipar yang menyayangi ahli keluarga lain. Berilah masa kepada ibu dan ayah untuk lupakan tragedi yang menimpa keluarga mereka dulu.

Sesungguhnya, kehadiran awak dalam keluarga kami dapat bersihkan segala prasangka dan ketakutan mereka selama ini.
Kebaikan awak kepada kami selama ini menafikan segalanya. Cuma abang mohon, berilah sikit masa pada ibu dan ayah."
"Kalau abang minta beri sikit masa pada ibu dan ayah, saya juga minta sikit masa lupakan apa saya dengar malam tadi. Saya tak berdosa dan saya tak ada apa-apa dendam kepada keluarga abang. Tapi kenapa penerimaan terhadap saya tidak ikhlas? Kalau ayah dan ibu boleh terluka, kenapa saya tak boleh?

Saya tiada kena mengena dengan apa terjadi dalam keluarga abang. Saya datang dijemput dengan pinangan dan masuk ke rumah abang sebagai isteri yang sah.Cuma satu pesan saya, jangan hukum semua orang oleh sebab salah atau dosa seseorang. Negeri bukan kayu ukur buruk baik seseorang.”

sumber : 

Cari Maklumat Di Sini