KUALA LUMPUR - Bagi menjadikan ibu kota Bandar Raya Tropika Lestari menjelang 2020, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerapkan konsep 'CASH' iaitu kreatif, aktif, suka bersukan dan sihat di tamannya.
  
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata antara usaha yang dilaksanakan di bawah CASH ialah melantik jurulatih senamrobik dan tai chi.
  
"Dengan adanya aktiviti yang dijalankan, saya berharap dapat meningkatkan kesedaran wargakota terhadap kepentingan menjaga kesihatan di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya ketika merasmikan dialog Belanjawan 2013 bersama 230 badan bukan kerajaan, termasuk persatuan penduduk dan persatuan penjaja di sini hari ini.
  
Beliau berkata DBKL sentiasa mempertingkat dan memperbanyak kerja pengindahan selain menaik taraf kawasan rekreasi serta kemudahan riadah bagi semua peringkat umur dan golongan kurang upaya.
  
Ahmad Phesal juga berkata sejumlah RM620 juta dibelanja untuk tempoh lima tahun oleh DBKL bagi menyelenggara kawasan perumahan awam dalam berbentuk pencegahan dan pembetulan kerja awam, elektrikal serta mekanikal.
  
Beliau berkata vandalisme di kawasan perumahan awam perlu ditangani oleh persatuan penduduk dan rukun tetangga dengan memainkan peranan yang lebih bagi mengenal pasti idea serta kaedah pencegahan sewajarnya.
  
"Jika masalah ini dapat diatasi, peruntukan bagi memperbaiki kerosakan akibat vandalisme boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat dan dapat memberi kebaikan kepada semua golongan warga kota," katanya. - Bernama

sumber : www.unitberkudadbkl.blogspot.com