Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Petugas DBKL didakwa ugut ahli perniagaan guna pisau

KUALA LUMPUR: Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan mengugut seorang ahli perniagaan menggunakan sebilah pisau, minggu lepas.

Rashid Hamid, 28, didakwa mengugut Mohamed Ali Ibrahim, 53, dengan memegang sebilah pisau dengan niat hendak menyebabkan mangsa berasa cemas di 4-7-6, Jalan Peel, Cheras di sini, pada jam 5.30 petang, 28 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rashid juga menghadapi pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan peralatan pejabat milik Mohamed Ali dengan niat menyebabkan kemusnahan di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, Rashid dari Wangsa Maju didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Nov untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chai Sia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Cari Maklumat Di Sini