Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Petugas DBKL dipenjara 2 tahun, 3 sebatan kerana cabul kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lalu.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A. Kalaivanan, 29.
"Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum 'bir'," kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa hari ini.

Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada jam 6.30 petang, 23 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.
"Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran," katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

"Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M.Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. - BERNAMA

Cari Maklumat Di Sini