Terima kasih kerana melayari blog ini . Kepada PENGUNJUNG sila tinggalkan identiti anda . kami akan melawat blog / facebook / twitter anda . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Malaysia antara destinasi pelancongan utama dunia bagi 2014

Malaysia disenaraikan dalam kalangan 10 destinasi pelancongan utama di dunia bagi 2014 oleh Lonely Planet, penerbitan panduan pelancongan popular global.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi) Chong Yoke Har berkata ranking itu keluar pada masa yang sesuai bagi Malaysia, ketika negara bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Kami gembira dengan ranking ini daripada salah satu penerbitan industri pelancongan paling berwibawa.
"Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 akan menjadi Tahun Melawat Malaysia keempat negara dan dianggar dapat menarik 28 juta pelancong ke negara ini, meraih RM76 bilion daripada perolehan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan.
Lonely Planet menggambarkan Malaysia sebagai “melancarkan pelbagai daya tarikan baru”, seperti Legoland Malaysia (gambar) dan taman tema keluarga Hello Kitty di Johor, serta Gaya Island Resort di Pulau Gaya di Sabah.
Taman Burung Melaka yang baru dibuka juga disebut sebagai satu lagi daya tarikan utama.
Malaysia satu-satunya negara Asia yang berada dalam senarai 10 destinasi pelancongan utama itu.
Brazil, Antartica dan Scotland muncul sebagai tiga destinasi paling utama untuk dilawat pada 2014. – Bernama

Resipi burger ramen yang enak

Chef Keizo Shimamoto telah membawa trend makanan terbaru ke New York iaitu Burger Ramen dan ia sangat popular sekarang! Jangan risau bagi anda yang tinggal jauh dari New York kerana anda juga boleh membuat burger ramen anda sendiri di rumah. Hanya dengan mengguna ramen sebagai pengganti roti, resipi ini tidak memerlukan anda mengambil MSG dan bahan pengawet yang terdapat seperti yang asal kerana anda juga boleh mevariasikan burger ramen anda sendiri dengan menggunakan perasa kegemaran anda.
Berikut adalah resipi untuk burger ramen buatan sendiri yang mudah dan enak:

Bahan-bahan 1 paket mi ramen
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng
1 daging 'patty'
Kicap soya
Minyak bijan
1 daun bawang, dicincang
Keju

Cara-cara: 'Roti' ramen: Ini merupakan komponen burger paling penting sekali dan ia sangat mudah untuk dibuat.

1) Rendam ramen dengan air panas sehingga lembut dan toskan. Kemudian, campurkan dengan telur. Bahagikan ramen kepada 2 bahagian untuk menjadikannya pengapit untuk daging. Seeloknya, letakkan ramen tadi di dalam bekas atau mangkuk yang bulat. Selepas itu, ambil mangkuk yang lebih kecil atau apa-apa yang anda boleh gunakan untuk menekan ramen tadi supaya berbentuk bulat dan padat seperti roti burger. Setelah siap untuk kedua-dua bahagian ramen tadi, simpan ke dalam peti sejuk kira-kira 15 minit.

2) Setelah 15 minit, panaskan minyak dalam kuali dan goreng kedua-dua 'roti' ramen tadi sehingga masak dan berwarna keperangan. Siap, dan ketepikan dahulu. Tiba masa pula untuk menyediakan daging 'patty' seperti yang anda suka. Anda boleh mevariasikan rasa dengan menggunakan kicap soya atau kicap bijan atau apa-apa perasa yang anda inginkan pada daging.

3) Letakkan daging 'patty' yang telah dimasak diantara kedua-dua ramen tadi supaya ia kelihatan seperti burger biasa namun kelainannya cuma roti yang digantikan dengan ramen. Selain itu, anda juga bole menambah daun bawang atau keju atau telur untuk menyedapkan lagi burger ramen buatan sendiri anda ini.

Senang dan mudah bukan

sumber: internet
 

awek tiada : potong zakar [ mangkuk punya orang ]

 Gara-gara kecewa kerana tidak mempunyai kekasih, seorang lelaki China nekad memotong zakarnya dan berbasikal ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, sejurus tiba di hospital, doktor mengarahkan Yang Hu, 26, pulang semula ke rumah untuk mengambil zakar yang tertinggal bagi membolehkan ia dirawat.

Lebih malang lagi, doktor memaklumkan penyambungan itu mustahil dilakukan kerana kecederaan pada zakarnya amat serius

Yang mengalami tekanan teruk selepas dia dipaksa bekerja dalam jangka masa panjang sehingga tiada peluang mencari pasangan. JIAXING - CHINA.

Anda di Cari polis - Blogger

Polis sedang mengesan individu pertama yang bertanggungjawab menyebarkan gambar mayat pegawai wanita selepas ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan fokus utama mengesan individu pertama yang menyebarkan gambar mangsa sehingga berleluasa di laman sosial.
Beliau berkata polis juga akan menyiasat petugas bank terbabit memandangkan gambar yang disebar adalah dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.
"Kita masih siasat dari mana asal penyebaran gambar ini malah kita juga sudah ambil rakaman percakapan dua anggota polis. Kita akan lakukan siasatan terperinci," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam kejadian itu, Norazita Abu Talib, 37, ditembak dengan senjata api jenis 'pump gun' oleh suspek ketika mangsa membuka peti besi di bilik kebal bersama-sama seorang lagi pegawai bank.
Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.
Rakaman video selama 32 saat, yang dipercayai sedutan CCTV memaparkan insiden itu, juga tersebar di laman sosial.
Bagaimanapun, Mohd Shukri enggan mengulas lanjut berkaitan suspek namun mengesahkan 11 individu, termasuk tiga anggota keluarga lelaki itu, ditahan bagi membantu siasatan setakat ini. - Bernama,

SUSPEK KES TEMBAK PEGAWAI BANK MASIH BERADA DALAM NEGARA- Polis

Polis setakat ini belum memerlukan bantuan interpol dalam menahan suspek utama kes rompak dan bunuh pegawai Ambank di
Selangor Rabu lepas kerana yakin lelaki itu masih berada di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada masa
ini pasukan khas yang ditubuh bagi menjejak lelaki itu bekerjasama dengan
kontinjen seluruh negara termasuk mengawasi pintu-pintu sempadan agar tidak
dibolosi suspek.
Sambil menyifatkan lelaki itu sebagai penjenayah berbahaya, beliau berkata
polis percaya lelaki itu masih mempunyai senjata api pump gun dan boleh
bertindak agresif dan membahayakan keselamatan awam.
"Pada masa ini, kami belum memerlukan bantuan Interpol dan berharap orang
ramai yang mempunyai maklumat segera tampil membantu," katanya kepada pemberita
di sini hari ini.
Mohd Bakri ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Sempena
Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai
Diwartakan(PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI)
dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) ke-86.
-- LAGI
POLIS-AMBANK 2 (AKHIR) KUANTAN
Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Presiden
Cuepacs Datuk Omar Osman.
Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada pukul 6.20 petang Rabu
lepas, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh
pengawal keselamatan tempat kerjanya.
Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal bank
berkenaan yang sebelum itu dibuka oleh mangsa untuk menyimpan wang.
Mohd Bakri meminta orang ramai segera menghubungi polis jika mempunyai
maklumat berkaitan suspek.
"Pasukan polis amat mengalukan bantuan orang ramai untuk menyalurkan
maklumat dan saya yakin suspek masih berada di dalam negara. Kami menjalankan
siasatan dari pelbagai sudut termasuk sama ada suspek dibantu oleh pihak lain
selepas melakukan jenayah itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran mana-mana individu yang cuba
bersubahat membantu penjenayah paling kejam itu akan dikenakan tindakan tegas
mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA




Romantik - Sunnah Nabi

Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati… mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’ …No..No..No.. ini romantik sesama pasangan suami isteri.. apa lagi… jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy.. best oo kahwin… kalau tak percaya..cubalah kahwin.. hehehe..
Rasulullah Sollahhu ‘Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.
Isteri Sebagai Bukti
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.
Mandi Bersama
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  Aisyah berkata bahawa : ”Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Hantar Isteri Keluar Rumah
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata :
“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta.”
Bukakan Pintu Kereta
Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Bawa Isteri Jalan-Jalan
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa ”Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
Suapkan Makanan
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?
Belaian & Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :
“Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata ”Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa :
“Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Pengubat Hati 
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Bergurau Senda
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :
“(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu.”
Saodah menolak dengan berkata : “Aku tidak akan memakannya.”
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.
Panggilan Manja
Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Jangan Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.

sumber :  Mohd Kasim 

Gaji sama dengan pekerja kontrak dalam agensi kerajaan;Cuepac

Kongres Kesatuan Pekerja (Cuepacs) yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mendesak kerajaan memberikan mereka gaji lebih tinggi daripada pekerja kontrak jangka pendek dalam beberapa agensi kerajaan yang lain.
Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda, berkata tidak adil jika penjawat awam yang layak dibayar menerima gaji kurang daripada mereka yang berkhidmat dalam kontrak jangka pendek.
"Cuepacs melihat ia perkara yang tidak adil apabila agensi yang mempunyai ramai pekerja kontrak  mendapat gaji lebih tinggi daripada penjawat awam," katanya  kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mengenai gaji sesetengah ketua agensi kerajaan setinggi RM69,000 sebulan.
Ong semalam berkata, gaji penjawat awam tertinggi Ketua Setiausaha Negara hanya RM23,577 jauh lebih rendah dari ketua agensi seperti Talentcorp, Agensi Inovasi Malaysia dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).
Azih berkata, Cuepacs mempersoalkan apakah kelayakan dan bakat pekerja agensi terbabit hingga gaji diberi lebih tinggi daripada penjawat awam.
"Cuepacs terkilan apabila timbul perkara begini kerana banyak permintaan Cuepacs dalam menuntut hak penjawat awam tidak dipenuhi oleh kerajaan sedangkan kakitangan awam juga mempunyai kelayakan setaraf dengan agensi.
"Cuepacs ingin tahu mengapa kerajaan tidak kisah berbelanja begitu tinggi untuk mereka. Apakah sumbangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Cuepacs menyarankan supaya kerajaan mengambil pendekatan lebih telus dengan mendedahkan butiran perbelanjaan agensi termasuk gaji yang perlu dibayar kepada orang ramai.
"Kita menyokong kerajaan yang ingin mengurangkan defisit negara, tetapi biarlah ia dibuat dengan langkah yang adil dan wajar.  Lebih baik sekiranya kerajaan membelanjakan lebihan wang tersebut kepada rakyat," katanya.
Ong berkata, menggajikan pekerja kontrak di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah salah satu sebab perbelanjaan kerajaan meningkat sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam Bajet 2014, JPM menerima peruntukan besar dengan Unit Perancangan Ekonomi menerima semua peruntukan untuk perancangan pembangunan.
Ong berkata, Najib sepatutnya terlebih dahulu mengurangkan perbelanjaan di JPM yang diunjur meningkat 13% daripada RM14.6 bilion kepada RM16.5 bilion pada 2014 nanti.
Ong turut mempersoalkan bayaran gaji yang tidak munasabah kepada pengarah eksekutif di bawah JPM sehingga ada mencecah ratusan ribu ringgit.
"Dalam jawapan Parlimen saya pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830,500, gaji bulanannya kira-kira sebanyak RM69, 000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40,000 sebulan).
"Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang mempunyai gaji bulanan RM23, 577," katanya. – 30 Oktober, 2013.

Awas Logo HALAL di Hentian Rehat Genting Sempah

 Penggunaan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim untuk mengaburi mata pengguna menjadi salah satu taktik peniaga untuk melariskan perniagaan mereka terutama melibatkan jualan makanan.

Pengerusi Lembaga Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail berkata berdasarkan pemantauan dijalankan pihaknya terdapat beberapa premis perniagaan menjual makanan di Hentian Rehat Genting Sempah menggunakan taktik itu.

Katanya, peniaga menampal logo halal di hadapan premis mereka bagi menarik perhatian pelanggan terutama beragama Islam.

“Dalam soal ini, pihak peniaga perlu lebih bersikap bertanggungjawab kerana tindakan mereka meletakkan logo halal palsu di hadapan premis seakan ‘menipu’ pelanggan.

“Walaupun peniaga beragama Islam namun keperluan meletakkan logo halal yang sah adalah penting bagi memastikan kesucian dan kebersihan makanan dijual,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius perihal penggunaan logo halal dalam kalangan peniaga.

Katanya, sewajarnya peniaga didedahkan dengan konsep halal ini dan kepentingan mendapatkan sijil halal Jakim di premis perniagaan mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kesedaran berkaitan isu logo halal ini masih kurang bukan dalam kalangan peniaga malah pelanggan itu sendiri.

Katanya, pihaknya berusaha meningkatkan kesedaran berkaitan konsep halal dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Agama Islam Daerah bagi tujuan itu.

“Jalan terbaik perlu dicari bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan konsep halal kerana ia merupakan fardu ain.

“Apa yang diharapkan menerusi kesedaran yang ada, masyarakat lebih prihatin dalam memilih kedai makan untuk menjamu selera,” katanya.

Tolong Menolong semangat Rakyat Malaysia

  Fatin Afiffah pelajar tingkatan 4 di laporkan hilang dlm perjalanan ke Sekolah Men Khir Johari Sg petani pd Ahad 27 Okt 2013... Pohon kpd semua supaya dapat share kan gbr dan 
posting ini supaya dapat di lihat oleh semua rakyat Malaysia bahawa sesiapa shj bersama pelajar ini mungkin akan berhadapan dgn tuduhan menculik.. dan kpd semua yg mengenali pelajar ini dan mengetahui dimana beliau berada 

Maklumat lanjut  KLIK SINI

Kerajaan arahkan rakyat berjimat tapi kerajaan macam mana [ Rumah PM ]

KUALA LUMPUR: Bil utiliti kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya tahun lalu mencecah RM2.3 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam jawapan bertulis kepada Anthony Loke (DAP-Seremban), beliau berkata sebanyak RM2,237,788.13 dibelanjakan untuk membayar bil elektrik sementara RM311,174.25 dibelanjakan untuk membayar bil air pada 2012.
Shahidan berkata bil elektrik dan air bagi kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria pula ialah RM865,458.56 dan RM99,264.03 bagi tahun lalu.
Pada sidang media di Lobi Parlimen, Loke meminta Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan penerangan yang jelas berhubung kos berkenaan.
"Rumah Putih di Amerika Syarikat mempunyai keluasan 7.2 hektar, sementara Seri Perdana, 17 hektar dan Sri Satria pula 7.3 hektar.
"Rumah Putih bukan hanya merupakan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat malah ia merupakan pejabat beliau.
"Bagaimanapun, Seri Perdana hanya cuma kediaman Perdana Menteri," katanya.
Loke mencadangkan agar Najib dan Muhyiddin membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada wang poket mereka sendiri berbanding memindahkannya kepada pembayar cukai.

pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, satu pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah bajet 2014 akan dikeluarkan bulan depan untuk penjawat awam yang diberikan peluang dari segi peningkatan gred jawatan.

Beliau, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengadakan kajian semula skim perkhidmatan awam berkata, ia telah sampai ke peringkat akhir setelah melalui satu proses ketat untuk mendapatkan persetujuan. 
"Semua skim ini kita buat kajian semula dengan melibatkan semua. Kita bermesyuarat dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan yang terlibat, semua ketua jabatan dan ketua setiausaha negara," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013. 


Persidangan itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di sini hari ini. 

Ali berharap penjawat awam yang menerima surat tawaran akan mempertimbang dengan baik perubahan skim masing-masing, yang dilaksanakan daripada pelbagai peringkat mulai depan depan. 

Ali, yang juga Naib Presiden Capam, berkata persidangan serantau itu yang adalah forum multilateral mengenai pentadbiran awam dalam kalangan negara Komanwel, akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan selepas Kuching, yang dihadiri 336 peserta, yang terdiri daripada anggota Capam dari 15 negara Komanwel, termasuk Malaysia. - BERNAMA

Keikhlasan anda di perlukan [ hilang anak ]


Hilang [ adik-beradik ]

nama : Nordiana shafiza
umur : 10 tahun

nama : Muhd Shafiz Denail
8 tahun

Hubungi balai polis jalan Ipoh
Insp Shahrul Nizam
tel : 012-3002735

Kerjasama anda jutaan terima kasih oleh pihak ibubapanya.



Tolong jangan aibkan isteri saya

KUALA LUMPUR: Suami kepada pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, yang ditembak mati dalam kes rompak dan bunuh pada Rabu, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.
Irwan Kamarudin, 37, berkata, penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.
 
"Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini selepas pengebumian isterinya di kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.
 
Norazita, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu sendiri selepas Norazita membuka pintu bilik kebal bank itu di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya pada Rabu.
 
Susulan kejadian, gambar dan rakaman video selama 32 saat tentang kejadian itu tersebar dalam laman Facebook pada Khamis.
 
Pagi Khamis, Irwan bersama dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, Muhd Hazimy, 8, serta saudara maranya hadir di Bilik Mayat Hospital Serdang untuk pengecaman mayat isterinya.
 
Suasana pilu menyelubungi bilik mayat itu dengan Irwan cuba ditenangkan anggota keluarganya sambil menangis setelah beliau membuat pengecaman jenazah isterinya.
 
Malah mereka menunggu sehingga 2 petang sehingga laporan bedah siasat selesai dijalankan dan menuntut jenazah untuk dikebumikan.
 
Nurnisa Nabilah berkata, kebiasaannya ibunya akan menghantar dia dan adiknyake sekolah namun pada Rabu, disebabkan kesibukan kerja, ayahnya terpaksa menghantar mereka ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, Subang, di sini.
 
"Dalam 7.30 malam saya terima panggilan dari mak saudara cakap mama dah tiada," katanya.
 
Sementara itu, pengurus bank berkenaan, Lyonel Tan berkata, kejadian ini pertama kali berlaku di bank tersebut.
 
"Arwah merupakan seorang pekerja yang rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan penting seperti khidmat pelanggan," katanya.
 
Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Norazita.
 
"Bagi pihak Kumpulan AmBank, kami ingin merakamkan ucapan takziah, doa dan ingatan kali terakhir buat keluarga Allahyarham di saat yang begitu sukar ini," katanya menerusi satu kenyataan.
 
Kumpulan AmBank bekerjasama rapat dengan polis dalam siasatan kejadian itu dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada anggota keluarga Allahyarham.
 
Di Kampar, jenazah Norazita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan KampungAyer Hitam Labu di sini pada pukul 7.30 malam Khamis.
 
Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya kira-kira pukul 6.55 petang dari Hospital Serdang, Selangor sebelum dikebumikan bagi memberi peluang anggota keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung menziarahi jenazah.
 
Bapa Allahyarham, Abu Talib Mohd Isa, 75, yang ditemui di rumahnya berkata, beliau dan keluarga reda dengan pemergian anak keduanya itu.
 
"Kali terakhir kami jumpanya pada hari raya korban lepas. Dia juga sempat jumpa adik beradik dan saudara mara," katanya yang mempunyai lima anak.
 
Ditanya mengenai dua anak Norazita, Abu Talib berkata isterinya Norsham Abdul Kader, 63, akan berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur untuk menjaga cucu mereka sehingga hujung tahun ini.
 
Mengenai tindakan yang akan diambil berhubung pembunuhan anaknya itu, Abu Talib menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.
 
"Kita sepatutnya mempunyai sifat seperti manusia lah. Kalau nak rompak, rompak jer lah duit. Tapi jangan lah sampai membunuh," katanya.

Cuti tambahan penjawat awam kematian suami

Kerajaan Kelantan hari ini menetapkan 27 hari cuti tambahan dengan bayaran insentif khas untuk penjawat awam wanita negeri itu yang baru kematian suami. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan Mumtaz Mat Nawi berkata penjawat awam berkenaan melibatkan mereka berjawatan tetap dan kontrak serta diberikan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.

"Sebelum ini, mereka mendapat cuti tiga hari dengan gaji penuh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata tambahan cuti itu bukan cuti automatik sebaliknya cuti pilihan yang diberikan kepada penjawat awam wanita dan tidak boleh dibawa ke hadapan atau diganti dengan imbuhan lain.

Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi kehendak syariah daripada sudut edah kematian suami dan bagi menjaga kebajikan wanita daripada sudut emosi. 

"Ia juga dilihat daripada sudut kesediaan balu itu dalam mengurus kehidupan setelah kematian suami," kata Mumtaz.

Beliau berkata keputusan itu akan dilaksanakan setelah mendapat pengesahan dalam mesyuarat akan datang dan akan dikuatkuasakan serta-merta.

Menurutnya penetapan itu tidak memberi implikasi yang buruk kepada sesebuah jabatan walaupun penjawat awam itu terpaksa menangguhkan tugas kerana cuti ini hanya diberikan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan mereka.

"Implikasinya tidak mengganggu tugas, lebih tinggi lagi wanita yang bersalin berbanding wanita yang kematian suami kerana kematian suami hanya berlaku sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah menyediakan Skim Manfaat Armalah (ibu tunggal) kepada balu yang baru kematian suami dan berpendapatan rendah, berdasarkan kepada jumlah bilangan anggota keluarga.

Bernama

Brunei dan hukum hudud

Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei semalam memperkenalkan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati mereka yang didapati bersalah kerana berzina.
Mengumumkan keputusan itu, beliau merujuk langkah berkenaaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu. 
Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia, berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan. 

Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak.
Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.
“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini, tanggungjawab kami terhadap Tuhan sudah ditunaikan,” katanya. 
Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996. 

Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka. -AFP

StartMonthlyJob.com Get your Home Job Guranteed and Make upto 2000$!



* Clik the picture

Mahkamah vs Kerajaan [ berlaku percanggahan pendapat tentang kalimah Allah ]

Semakin banyak percanggahan berhubung isu kalimah Allah kini wujud apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan Kabinetnya memberi kenyataan bahawa kalimah Allah hanya diharamkan bagi akhbar mingguan Katolik Herald sementara penganut agama Kristian masih bebas menggunakan kalimah itu di mana sahaja mereka berada.
Bagaimanapun, peguam yang mahir dengan perlembagaan memberitahu media penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu adalah pengharaman secara menyeluruh perkataan itu yang memberi kesan kepada semua penganut Kristian di Malaysia.
Peguam Fahri Azzat, berkata keputusan mahkamah itu menyebabkan kekeliruan.
“Ini masih belum berlaku pada ketika ini, tetapi jika sesiapa mencabarnya, ia akan terpakai,” katanya kepada media di Kuala Lumpur semalam.
Peguam Edmund Bon, berkata mahkamah berhujah bahawa kalimah Allah diharamkan bagi akhbar mingguan Herald kerana ia tidak termasuk dalam ajaran Kristian dan dalam ibadah mereka.
“Ini bermakna penghakiman tersebut melibatkan semua Kristian,” katanya.
Presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Jagir Singh yang juga seorang peguam mempersoalkan mengapa negara mempunyai dua set undang-undang dalam isu ini.
“Ini tidak betul kerana kita hanya boleh mempunyai satu undang-undang terpakai di seluruh negara,” katanya.
Jagir berkata, penghakiman itu mempunyai implikasi besar dan memberikan menteri dalam negeri kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan atau dikaji semula oleh mahkamah.
“Dalam kes Herald, tiada bukti dikemukakan untuk menunjukkan akhbar tersebut digunakan untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada umat Islam. Sebaliknya, bukti menunjukkan ia hanya digunakan kepada penganut Kristian,” katanya.
“Keenganan mahkamah untuk melihat sama ada menteri dalam negeri adil atau tidak bermakna beliau sekarang mempunyai kuasa untuk campur tangan terhadap agama lain,” katanya.
Jagir berkata, bahaya sekarang adalah menteri dalam negeri mungkin boleh mengawal selia kebebasan asas, termasuk kebebasan beragama dengan hujah sesetengah pihak mungkin terkeliru atau mengganggu ketenteraman awam dan mahkamah hanya berdiam diri tanpa memikirkan faktor perundangan, keadilan dan kesaksamaan.
Semua peguam itu bersetuju bahawa apa yang gereja Katolik dan bukan Islam boleh lakukan adalah untuk merayu di Mahkamah Persekutuan atau Parlimen.
Najib akhirnya memecahkan kebuntuan semalam apabila berkata, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak serta perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara peringkat Kabinet Pusat itu akan dikekalkan di kedua-dua negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata penganut agama Kristian di Semenanjung Malaysia masih boleh menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka meskipun selepas keputusan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Isnin lalu.
Sebelum itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, berkata penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung isu Allah terpakai kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau terkejut apabila kerajaan mengatakan penghakiman itu tidak menjejaskan penganut Kristian Sabah dan Sarawak.

Biskut BinBin Haram bagi umat islam


Biskut BinBIN haram d makan bagi umat Islam...
Perhatian semua ibu bapa, jangan makan biskut BinBIN dimana ia mengandungi lemak babi (PIG FATS), code E631,...
Selalu kanak-kanak yang suka makan biskut ni...
سبحان الله... 
Ya Allah ampuni kami yang termakan biskut ni ya Allah...

Kedai Seks Halal' Dibuka

SEBUAH laman web “berkonsepkan Islamik” yang menjual kondom, minyak urut dan minyak wangi yang pertama seumpamanya telah dilancarkan di Turki.
Kedai “barangan Seks Halal” itu dikatakan menjual produk yang selamat, serta mematuhi norma-norma Islam dengan sepenuhnya.

Pengguna internet yang melayari laman web itu akan diberi pilihan dua tujuan (links) yang berbeza, bagi mengikut jantina bagi mengasingkan produk untuk wanita dari yang untuk lelaki.

Antara bahagian lain yang direka dalam laman web itu adalah perbincangan pelbagai tajuk seks dalam “konteks Islam”, seperti “Kehidupan seksual mengikut cara Islam”, “Seks oral dalam Islam” dan “Adab-adab Seks dalam Islam”.

Pengasas laman web itu yang enggan dikenali, percaya kedai online tersebut akan membantu sikap prejudis sesetengah pihak yang menganggap tidak wujud seks dalam kehidupan orang Islam.

"Agama Islam juga memandang baik Seks dalam sesetengah perkara (bagi mengelakkan maksiat)," katanya dalam laman web itu.

"Penggunaan setiap produk yang dijual adalah selaras dengan keperluan Islam.

Memang terdapat “kedai barangan erotik” dibandar Turki, namun pada tahun lepas, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, seseorang ahli politik yang dikenali bersikap konsevatif Islam, pernah mencadangkan kedai sebegitu ditukarkan namanya sebagai "love shop".

-AFP

Najib: Kristian Sabah dan Sarawak boleh guna kalimah Allah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
Najib berkata perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara peringkat kabinet pusat itu akan dikekalkan di kedua-dua negeri.
"Baru-baru ini apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai kalimah Allah, ia tidak menyentuh sama sekali mengenai amalan Kristian di Sabah dan Sarawak, malah 10 points agreement masih dikekalkan," katanya.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan bahawa Herald, penerbitan mingguan Katolik dilarang daripada menggunakan kalimah Allah pada 14 Oktober untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
Najib yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berucap demikian semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-28 di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Perdana menteri mengingatkan semua anggota masyarakat bahawa satu daripada prasyarat untuk menjalani kehidupan aman damai adalah menjaga hubungan antara kaum dan penganut agama di negara ini.
"Kepada rakyat Sabah, harap jangan ada sesiapa rasa tertekan kerana amalan setiap penganut agama akan kekal seperti mana sebelum ini.
"Jika kita hidup dalam aman, keharmonian kaum dan agama dapat kita kekalkan, dipupuk dan diperkukuhkan. Kita (kerajaan) juga ingin lihat bagaimana kita dapat membawa lebih pembangunan di Sabah terutama di kawasan desa dan luar bandar," katanya.
Beliau berkata sebelum gagasan 1Malaysia diperkenalkan, Sabah telah mengamalkannya dalam keserasian, keunikan kumpulan pelbagai bangsa dan etnik, selain cermin kepada konsep masyarakat 1Malaysia.
Sehubungan itu, Najib berkata semua pihak juga harus saling menjaga sensitiviti agama selaras usaha kerajaan memupuk perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negara ini.
"...maka kita perlu uruskan segala yang berkait dengan hubungan etnik dan agama dengan saling memahami sensitiviti antara kaum.
"Pokoknya seperti yang saya katakan bahawa kalau kita ambil dua kumpulan besar dalam negara, maka rahsia yang boleh membawa keharmonian kepada penganut agama bukanlah terlalu sukar untuk dicapai... ia bukanlah 'roket science', ia berasaskan pertimbangan yang rasional dan waras," katanya.
Perdana menteri berkata pertimbangan itu mudah sahaja, iaitu orang Islam tidak seharusnya menyakiti hati bukan Islam dan orang bukan Islam juga tidak patut menyakiti hati orang Islam.
Jika semua rakyat berpegang kepada prinsip itu, selain sentiasa disemat dalam ingatan, maka negara akan aman dan harmoni seperti yang dilihat dalam perpaduan rakyat Sabah termasuk anggota PBS sehingga kini, katanya. 

Warga asing jual sayur kepada orang tempatan

warga Myanmar yang menjual sayur terbuang di Pasar Harian Selayang merupakan pekerja kedai mamak dan kedai makan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan kerana mahu menjimatkan kos modal bahan mentah masakan yang dijual.

Hal itu didedahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil pemantauan yang dilakukan setiap hari di situ sejak mula-mula aktiviti itu berlangsung.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, tindakan pihak kedai makan membeli bahan mentah yang sepatutnya telah dilupuskan itu tidak wajar kerana ia hanya nampak elok di pandangan mata kasar hakikatnya sudah tiada kualiti.

“Sayur-sayur ini akan dikutip dari tong sampah di pasar borong untuk dijual di Pasar Harian Selayang, dan hasil pemantauan dan risikan yang dibuat, jarang ada orang perseorangan yang membelinya melainkan dari pihak kedai makan.

“Bagaimanapun aktiviti jualan ini dilihat semakin berkurangan hasil tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, namun tidak dinafikan masih terdapat kegiatan itu memandangkan warga Myanmar merupakan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, antara faktor yang menyumbang kepada kegiatan tersebut adalah terdapat pihak yang bertindak menjadi ‘pembekal’ kepada warga Myanmar itu bagi mengasingkan sayur-sayur terbuang yang masih ‘elok’.

“Sepatutnya sayur-sayur terbuang ini dikumpulkan dan dibuang dalam tong sampah namun terdapat pekerja pasar borong yang bertanggungjawab melakukannya tugasan itu bertindak mengasingkan sayur yang kelihatan elok.

“Pekerja itu terdiri daripada warga Myanmar juga, jadi mungkin mereka juga ada ‘deal’ dan  mengambil untung dengan menjual sayur-sayur terbuang itu kepada rakan mereka, untuk dijual kembali,” katanya.

Jelas Irwan, sepanjang tahun ini, lebih 3,000 sitaan dilakukan melibatkan penjaja warga asing dan kebanyakannya adalah hasil operasi di Pasar Harian Selayang.

“Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang setiap kali melakukan operasi.

“Justeru orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli sayur-sayur yang dijual oleh warga asing ini kerana ia adalah bahan yang dilupuskan,” katanya.

Difahamkan seramai lapan penguatkuasa ditempatkan setiap shift untuk melakukan pemantauan dan tindakan sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan di sekitar Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Noreen Noor meninggal dunia

AMPANG -  Pelakon dan penyanyi terkenal, Noreen Noor meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Ampang Puteri, Selangor.

Berusia 40an, Allahyarhamah meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi dan buah pinggang.

Antara lagu popularnya adalah Siang Terbayang Malam Merindu.

Selain menyanyi, beliau juga popular di layar perak. Filem pertama lakonannya, Talak pada tahun 1980.

Antara filem lain yang pernah dibintanginya adalah Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak.

PantaiTimur Gangster2




Kau ni lah yang perasan cantik... kau pukul adik angkat aku kan? Kau bangunlah bodoh, bangun..kau ni bodoh, bodoh.”

Itu antara dialog dua remaja perempuan sebelum memukul, menumbuk dan menendang serta menampar seorang remaja perempuan lain dipercayai rakan mereka yang rakaman videonya tersebar menerusi Facebook dan YouTube sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di sebuah negeri pantai timur di kawasan tepi pantai dan kedua-dua suspek itu bukan saja menyepak rakan mereka malah turut mengaibkan mangsa dengan menarik kemeja-T yang dipakainya ke atas.

Video berdurasi 2 minit 24 saat itu tersebar secara meluas di laman sembang sosial dan dipercayai ia dirakam seorang lagi rakan mereka sebelum memuat naik video itu ke Facebook dan YouTube.

Difahamkan, mangsa yang juga kenalan kepada adik angkat kedua-dua remaja perempuan itu dikatakan pernah memukul adik angkat mereka dan suspek dipercayai bertindak membalas dendam terhadap mangsa.

Sumber:

Cari Maklumat Di Sini