Terdapat sebahagian ulama' mengatakan sunat bagi wanita menziarahi makam Rasul, Ambia, Para Ulama' dan orang-orang solih (lihat l'anah at-Thalibin)
Oleh : Mufti Brunei
بسم الله ، والØمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصØبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke
atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada
bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur,
sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau
kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang
pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.
Biasanya surah Yassin dan bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat
kita apabila berziarah kubur.
Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika
Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang
menjadikannya rutin yang dilakukan seminggu sekali,
sebulan sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli
keluarga yang difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur.
Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan golongan ahli keluarga
yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lelaki dewasa, malahan
kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga beramai-ramai turut
sama berziarah.
Senario golongan perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur
menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa
perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi
perempuan yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?
Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.
1. Hukum berziarah bagi lelaki
Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur
orang-orang Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh
Buraidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, ganti nama " كم " (kum) dalam
larangan dan juga " زوروا " pada perintah dalam hadis di atas adalah
ditujukan kepada kaum lelaki.
Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:
I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur keduanya bukan di negeri
di tempatnya berada.
II. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat-handai yang pada ketika
hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.
III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan
tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya atau sebagainya.
2. Hukum berziarah bagi perempuan
Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan.
Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan
dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih
lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat
dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnya
tidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat
atau di tanah perekuburan.
Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah
makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka
menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.
Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur
adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam
seperti berikut:
1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,
katanya:
Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang
sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”
(Hadits muttafaq ‘alaih)
Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi
perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram,
sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang
perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.
2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke
perkuburan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli
kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah
merahmatiorang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang
terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan
bertemu dengan kamu.”
(Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan
berziarah kubur.
Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung
pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun
tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh
dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika
berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan
aman dari segala fitnah.
Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh
tersebut akan bertukar kepada haram.
Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan
dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur.
Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya
semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram
baginya menziarahi kubur.
Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian
ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.
Hukum Perempan Haidh Berziarah Kubur
Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk
berziarah kubur tidak disyaratkan suci daripada hadats kecil mahupun besar.
Suci daripada hadats merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja
kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.
Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah kubur dengan tujuan
yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah
dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan yang suci berziarah kubur.
Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan
sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat
al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca
al- Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Maka memadailah
baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan sebagainya atau berdoa untuk
si mati seperti memohon keampunan dan rahmat atau yangseumpamanya daripada
Allah untuk si mati.
Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur
sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:
(1) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.
(2) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah
digariskan oleh Islam.
(3) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.
(4) Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas
kaum lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang
diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya:
“(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang
ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan
perkataan yang tidak baik.”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie)
Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini
adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan
daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.
Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana
secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada
syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu,
jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah
berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti
Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan
keadaannya di dalam haidh itu.