Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Ziarah Kubur

gambar hiasan


1.1 Tersebut  dalam  kitab  I'anah At-Thalibin, adalah sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur dan makruh bagi kaum wanita. Ini beralasan suatu ketika Rasulullah s.a.w. melihat seorang wanita menangis atas kubur anaknya.
Maka sabda baginda, maksudnya:
"Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah"                                                                          
(Ittifaq Bukhari dan Muslim)
Kalaulah haram wanita ziarah kubur nescaya ditegahnya wanita itu. Adapun hadith yang bermaksud, "Allah melaknat wanita-wanita menziarahi kubur" memberi erti wanita yang datang meraung, menangis di atas kubur boleh mendatangkan fitnah, sememangnya dilarang. Sebahagian ulamak mengatakan hadith melarang wanita ziarah kubur telah dimansuhkan oleh hadith yang bermaksud:
Dari Buraidah al-Aslami r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku dahulu melarang kamu dari menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kubur (kerana ada baiknya)."
(Riwayat Muslim)                                                     
1.2 Ketika sampai di kawasan kubur adalah sunat memberi salam.
   
1.3 Menghadiahkan  bacaan  ayat  suci  al-Quran,  terdapat  dalam hadith Nabi menganjur supaya membaca :
i. Surah Yaasin
ii. Surah al-Ikhlas
    
iii. Surah al-Falaq           
                       
iv. Surah an-Nas
v. Surah al-Fatihah
1.4 Islam melarang  menziarah kubur. Jika menjadikan kubur itu sebagai Tawassul, memuja atau dijadikan temasya.
1.5 Berdoa kepada arwah  
Tersebut dalam kitab al-Azhar, kata Imam Nawawi telah menjadi Ijmak Ulama' (Assyafieyah) bahawa berdoa dan menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang islam yang telah meniggal dunia berfaedah dan sampai pahalanya. Dalam kitab al-Irsyad wa syarhih Ibnu Hajar menambah samada doa itu dari warisnya atau orang lain.
Dalilnya firman Allah s.w.t. surah  al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:
"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan katanya, wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami."
1.6      Wanita Ziarah Kubur
Terdapat sebahagian ulama' mengatakan sunat bagi wanita menziarahi makam Rasul, Ambia, Para Ulama' dan orang-orang solih (lihat l'anah at-Thalibin)


Hukum Perempuan Menziarahi Kubur : 

Bagaimana Dengan Perempuan Yang Haidh ?

Oleh Mufti Brunei
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke
 atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
 pengikut Baginda)
Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada 
bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur,
 sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau
 kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang
 pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Biasanya surah Yassin dan bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat
 kita apabila berziarah kubur.

Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika
 Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang 
menjadikannya rutin yang  dilakukan seminggu sekali,
sebulan sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli 
keluarga yang difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur.

Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan golongan ahli keluarga 
yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lelaki dewasa, malahan
 kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga beramai-ramai turut
 sama berziarah.
Senario golongan perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur 
menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa 
perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi 
perempuan yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?


Hukum Berziarah Kubur

Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.

1. Hukum berziarah bagi lelaki

Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur
orang-orang Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh
 Buraidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”

(Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, ganti nama " كم " (kum) dalam
larangan dan juga " زوروا " pada perintah dalam hadis di atas adalah
ditujukan kepada kaum lelaki.

Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:

I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur keduanya bukan di negeri
 di tempatnya berada.

II. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat-handai yang pada ketika 
hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.

III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan
 tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya atau sebagainya.

2. Hukum berziarah bagi perempuan

Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan.
 Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan
dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih
lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat
 dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnya
tidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat
 atau di tanah perekuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah
 makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka
 menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur
 adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi 
wasallam
 seperti berikut:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,
katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang
 sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”
(Hadits muttafaq ‘alaih)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi 
perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, 
sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang
perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.

2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah
 Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke 
perkuburan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli
kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah
 merahmatiorang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang 
terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan
 bertemu dengan kamu.”

(Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan
 berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung
 pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun
 tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh
 dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika
 berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan
 aman dari segala fitnah.
Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh
 tersebut akan bertukar kepada haram.

Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan
dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur.
 Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya
semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram
baginya menziarahi kubur.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian
ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.

Hukum Perempan Haidh Berziarah Kubur

Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk
 berziarah kubur tidak disyaratkan suci daripada hadats kecil mahupun besar.
Suci daripada hadats merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja
 kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.

Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah kubur dengan tujuan
 yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah
dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan yang suci berziarah kubur.

Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan
 sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat
al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca
 al- Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Maka memadailah 
baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan sebagainya atau berdoa untuk 
si mati seperti memohon keampunan dan rahmat atau yangseumpamanya daripada
 Allah untuk si mati.

Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur
 sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:

(1) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.

(2) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah 
digariskan oleh Islam.

(3) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.

(4) Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas
kaum lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang
 diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang
ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan
perkataan yang tidak baik.”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie)

Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini
adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan
daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.

Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana
secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada
 syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu,
jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah
berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti
 Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan
 keadaannya di dalam haidh itu.

Cari Maklumat Di Sini