TEGAP... kerapu gergasi yang ditangkap di Queensland, Australia.
ADA yang sebesar kuda, ada yang boleh melumpuhkan anda dengan renjatan
elektrik 500 volt dan ada yang berminat terhadap kemaluan lelaki.
Di dalam air sungai yang tenang, hidup haiwan bergigi tajam, licin dan berwajah
menakutkan hingga menyebabkan penduduk tempatan menggigil setiap kali
menceritakan kisah menyeramkan mengenai hidupan itu.
- NGERI... Wade dengan ikan Payara yang juga dikenali sebagai ikan pontianak kerana giginya.
- KUAT... ikan keli Wels yang ditangkap di Sepanyol.
Namun, penerbit filem Britain, Jeremy Wade sentiasa melanggar pantang
larang tradisional dalam usahanya menjejaki ikan air tawar yang paling
menakutkan, untuk mengetahui betapa seramnya mereka.
Wade memburu kumpulan haiwan berwajah ganjil itu untuk siri barunya,
‘River Monsters’ (raksasa sungai) yang menyaksikan dia bertarung dengan
ikan pari air tawar, bergelut dengan salamander Jepun, malah berenang
dengan ikan keli goonch India yang seberat 73 kilogram.
Jeremy berkata, yang mendorongnya ialah keinginan bukan setakat melihat
sesuatu yang tidak pernah dilihat tetapi juga menyedarkan orang ramai bahawa
kehidupan haiwan itu lebih terancam berbanding manusia.
Menurutnya, raksasa sungai yang lengkap itu adalah ‘besar dan pelik, kelihatan
seperti ia tidak sepatutnya berada dekat dengan manusia’.
“Menemuinya adalah satu perkara, tetapi untuk memuliharanya adalah perkara lain.
Orang ramai tidak boleh diharap untuk menjaga sesuatu yang mereka
tidak tahu kewujudannya.
“Sebahagian besar haiwan ini tidak pernah dilihat oleh orang ramai, apatah
lagi menerusi televisyen. Dan anda tidak boleh menghasilkan program yang
menunjukkan sifat semula jadi mereka kerana tahap penglihatan buruk atau
langsung tidak ada dalam kebanyakan sungai.
“Setiap kali selepas menangkap dan melihat ikan, saya melepaskannya.
Meskipun berbahaya kepada manusia, kita tidak memahami sifat raksasa itu.
“Hanya dalam keadaan tertentu, seperti ikan haruan gergasi yang melindungi
anak mereka, ikan gergasi akan menyerang manusia dengan sengaja.
“Selaku pemangsa yang berada di tempat teratas, mereka adalah petunjuk
baik terhadap keseluruhan keadaan sungai kita, sesuatu yang perlu kita pelihara,
untuk kepentingan kita juga.”
Bagi Wade, meskipun menemui banyak jenis ikan, termasuk bergigi tajam,
duri sirip beracun dan saiz sesetengah ikan yang sangat besar, paling menakutkannya
ialah ikan yang saiznya tidak besar.
“Bagi saya, ikan paling menakutkan mungkin belut elektrik. Mereka tidak kelihatan
menyeramkan tetapi renjatan elektrik 500 volt ikan itu mampu melumpuhkan anda.
“Dan jika ia membuatkan anda tertiarap di dasar air, sukar bagi anda untuk terus
hidup. Sesiapa yang datang untuk membantu mungkin turut terkena kejutan itu.
“Saya pernah mendengar orang mati dalam air yang hanya separas lutut kerana
diserang haiwan itu. Menurut cerita, belut itu kadangkala membelit dada mangsa
dan mengeluarkan arus elektrik secara berterusan hingga jantung mangsa
terhenti,” kata Wade.
Bekas guru sekolah menengah, Wade yang mempunyai Ijazah Sarjana
Muda Sains bidang zoologi daripada Universiti Bristol berkata, dalam
beberapa kes, dia menyangka tidak akan berjaya menemui ikan yang
kisah mereka pernah didengarinya.
“Mulanya, saya ragu-ragu mengenai ikan keli goonch di India. Saya dan
jurukamera hampir tidak tidur sebelum kami akhirnya merakam seekor
ikan itu. Panjangnya hampir dua meter dan berat 73 kilogram.
“Beberapa tahun sebelum ini, saya pernah menangkap ikan keli goonch
yang lebih besar. Saya tidak pasti besarnya tetapi apabila saya berenang
di sungai yang sama ketika membuat rakaman River Monsters, jurukamera
kami ternampak seekor ikan itu yang sebesar kuda.”
Kata Wade, dokumentari mengenai ikan sungai terbitannya secara tidak
langsung menjadi catatan mengenai ikan yang mungkin tidak wujud
dalam masa 50 tahun lagi.
“Kebanyakan ikan yang saya temui jarang ditemui berbanding 50 tahun lalu.
Dan banyak lagi yang pupus. Namun, kebanyakan mungkin dapat terus hidup
di sesuatu kawasan dalam jumlah dan saiz lebih kecil.
“Ia tidak termasuk ‘kaluga sturgeon’ di Sungai Amur, Russia yang
mungkin pupus beberapa tahun lagi kerana dalam perdagangan kaviar,
telur ikan itu diasinkan dan dimakan sebagai hidangan mewah dan istimewa.”