Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

pencarian lailatul qadar


Tajuk :
Malam Lailatul Qadar
Hadith :

Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”

 
(al-Bukhari)



Huraian
1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.
2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut
3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.
4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.
Sumber :



Malam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala, ertinya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr.  Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr?  Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.”  (Surah al-Qadr: 1-3)
Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr.

Sunat Mengintai Lailatul-Qadr

Disunnatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari yang terakhir.
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.”  (HR Bukhari & Muslim)

Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?

Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini.
Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.
Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh.
Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam:  “Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!”
Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah.  Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr

Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.”
Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya:  “Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?”  Maka ujar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam:  “Katakanlah: 
“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini.”

Cari Maklumat Di Sini