Tong sampah beroda percuma
SEREMBAN - Penduduk Seremban yang belum mengambil tong sampah beroda
diminta mengambilnya segera di Pejabat Logistik SWM di No 562, Jln
Haruan 4/7, Oakland Commercial Centre, Seremban 2 di sini.
Pengurus negeri SWM Environment Sdn Bhd (SWM) Negeri Sembilan, Mahadi
Abd Talib berkata kegagalan pemilik kediaman mengambil tong sampah itu
yang diberikan secara percuma akan mengganggu kelancaran perkhidmatan
kutipan sisa pepejal kelak.
"Pemilik rumah kediaman hendaklah membawa bersama borang pendaftaran
yang telah diberikan terlebih awal, salinan kad pengenalan serta salah
satu salinan bil utiliti (air, elektrik, telefon tetap atau bil cukai
pintu) semasa menuntut tong sampah beroda," katanya dalam satu kenyataan
di sini hari ini.
Beliau berkata pemilik juga boleh menghubungi Pejabat Logistik SWM di
talian 06-6314715 untuk sebarang pertanyaan lanjut berkenaan dengan masa
pengambilan tong sampah beroda itu.
"Kerjasama dan sokongan daripada penduduk dalam program ini penting
lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan penuh Akta 672 pada September 2012,
iaitu bagi kawasan Seremban di mana penggunaan tong sampah seragam ini
adalah diwajibkan," katanya.
Pemberian tong sampah beroda 120 liter secara percuma bagi penduduk
taman perumahan dalam Majlis Perbandaran Seremban dilaksanakan secara
berperingkat bermula September 2011 sehingga 31 Ogos 2012 seperti
termaktub di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
(Akta 672). - Bernama