KLANG – Seorang pemuda dipercayai pelesit rempit terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Persiaran Raja Muda Musa di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi, mangsa, S. Sattindran, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya tercampak sejauh kira-kira 60 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.
Difahamkan, sebelum tragedi itu, Sattindran dan seorang rakannya yang menaiki motosikal lain sedang berlumba apabila mereka dilihat beberapa kali melalui jalan tersebut.
Bagaimanapun, selepas motosikal ditunggangi Sattindran merempuh belakang lori, rakan mangsa terus melarikan diri.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd. Rahman berkata, mangsa mati di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.