Sementara nama Teana hanya digunakan di negara antaranya Jepun, Thailand, Filipina dan India termasuklah Malaysia.
Nissan Teana ditawarkan dengan tiga varian di pasaran dengan pilihan bermula daripada 2.0 liter (L) MR20DE kepada enjin V6 dengan sesaran 2.5L dan 3.5L. Dua varian dengan enjin yang lebih kecil merupakan pemasangan tempatan di Kilang ETCM di Serendah, Selangor dan bagi enjin 3.5L V6 ia diimport terus dari Jepun.
Kesemua varian berkenaan dipadankan dengan kotak gear Nissan X-Tronic CVT. Untuk ruangan pandu uji kali ini, penulis berpeluang memandu uji kereta sedan Teana selama seminggu. Model yang diterima adalah 2.5L V6 Premium di mana di bahagian belakang but tertera lencana krom tertulis 250XV.
Dengan perbezaan harga sekitar RM75k berbanding model pemasangan luar negara (CBU), varian 2.5L V6 tidak dilengkapi dengan kerusi pengudaraan hadapan, kerusi hadapan Ottoman dan juga beg udara tepi.
Ia juga tidak dilengkapi dengan kotak gear mod manual enam kelajuan yang tersedia pada varian 3.5L sahaja.
Jika dibandingkan dengan Toyota Camry dan Honda Accord, Nissan Teana bukanlah yang paling fotogenik. Ia masih kelihatan ‘besar’ sesuai dengan imej luaran segmen D. Secara peribadi saya sukakan potongan bersih luaran yang ditampilkan oleh Teana, jeriji krom besar begitu menonjol sehingga ke lampu hadapan.
Sudut tepi sangat bersih, dan ini mungkin sudut terbaik Teana untuk anda mengambil gambar yang menampakkan cirinya yang lebih besar.
Bahagian hujung belakang Teana juga agak menyerlah dengan reka bentuk LED di lampu ekor belakang memberikan sedikit watak yang membezakan ia dengan pesaing Jepun yang lain.
Rekaan luarannya banyak menampilkan penggunaan krom pada bahagian bingkai tingkap, garisan bawah bampar dan juga di bahagian bawah tepi pintu.
Pada pendapat saya, Nissan lebih mengambil pendekatan ‘selamat’ untuk luaran Teana.
Masuk sahaja dan duduk di bahagian pemandu, agak cepat untuk saya serasikan dengan kesemua butang di bahagian papan pemuka. Tema warna kabin Teana juga begitu unik. Penggunaan warna cerah memberikan rasa kabin yang lapang dan terang. Namun ia mudah menampakkan kekotoran dengan jelas dan pemilik perlu memberi penjagaan tambahan pada bahagian kabin. Penggunaan kemasan kayu lebih licin dan konsisten pada bahagian papan pemuka, pintu, stereng dan kotak gear menyerlahkan lagi imej mewahnya.
Teana juga menawarkan Sistem Multimedia Navigasi menggunakan GPS di atas monitor skrin sentuh tujuh inci. Ia juga berfungsi sebagai kamera pandang belakang bersama fungsi pandangan waktu malam. Bagi anda yang teragak untuk memarkir, Teana turut menawarkan sensor hadapan. Tekan sahaja butang sensor ‘P’ di bahagian tepi pemandu ia membantu anda mengagak jarak objek di hadapan. Namun saya kurang senang dengan bunyi amaran yang terlalu kuat dan kadang kala ia begitu ‘menjengkelkan’.
Daripada segi kuasa, Teana menghamburkan kuasa 182PS pada 6000rpm sementara tork maksimum pada 228Nm pada 4400rpm.
Enjin 2.5L V6 tidak pernah menolak apabila memerlukannya untuk kelajuan tambahan. Penghantaran kuasa begitu lancar dan bunyi yang dikeluarkan oleh enjin begitu menyenangkan apabila anda menekan pedal ke lantai untuk pecutan. Anda tidak akan merasa penghantaran menendang turun dan tork yang diberikan memastikan pecutan tinggi atas permintaan. Begitu sukar untuk mematuhi kelajuan maksimum di lebuh raya kerana memecut laju Teana begitu ‘menggeletek’ saya untuk terus mengujinya.
Satu perkara yang saya sukakan tentang Teana ialah sistem suspensi yang diketengahkan. Menggunakan topang MacPherson di bahagian hadapan dan multi link di roda belakang ia ditala dengan kecenderungan selesa. Body roll kenderaan begitu stabil ketika melalui selekoh.
Namun, apabila anda memilih untuk memandu dengan tenang, ia memberi ganjaran kepada anda dan penumpang untuk ketenangan serta keselesaan.
Ia juga menyerap ketidaksempurnaan jalan hampir sempurna. Bunyi bising angin juga diasingkan jauh dari kabin. Nissan dapat mencapai keseimbangan mengesankan antara keselesaan perjalanan jauh dan kehebatan pengendalian. Ia sebenarnya menghantar tahap maklum balas baik melalui stereng dan pedal.
Boleh dikatakan Teana sebagai ‘kemunculan semula’ yang berbaloi untuk Nissan dalam pasaran segmen D. Realitinya. Teana bukan sahaja membawa lebih jenama untuk keselesaan dan penghalusan daripada Sylphy, malah ia sebenarnya menyuntik jumlah kuasa yang cukup menyeronokkan kepada pengalaman memandu.