IBU - Pengorbananmu , tidak terbalas oleh seorang anak....seperti aku . AMPUNKAN segala dosa2 ku..amin
APA jua panggilan bagi seorang wanita yang melahirkan anak sama ada lembut dipanggil ibu, manja dipanggil mama, penuh ketegasan dipanggil emak, penuh ciri keislaman dipanggil umi, agak kebaratan dipanggil mummy dan penuh kesantunan dipanggil bonda.
Hakikatnya apa pun panggilan yang diberi, golongan wanita ini adalah mereka yang ditakdirkan oleh ALLAH S.W.T untuk melahirkan, menjaga, mendidik, membesarkan zuriat kurnia yang paling istimewa daripada ALLAH S.W.T. Mereka yang terpilih ini adalah mempunyai kekuatan luar biasa ALLAH anugerahkan dalam keadaan sedar atau di luar sedar.
Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya bahawa taraf seorang ibu itu adalah tiga tingkat lebih tinggi daripada seorang ayah. Malah di dalam al-Quran sendiri, ALLAH meletakkan ketegasan iaitu:
“Dan TUHANmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-NYA dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya.
Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai TUHANku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil.” - Al Israa’: 23 dan 24
Ini peringatan buat kita semua tidak kira sama ada sudah melewati usia separuh abad atau setahun jagung. Pokoknya, selagi ibu dan ayah masih ada di dunia ini maka berbaktilah pada mereka. Bentuk ilham kasih sayang ibu adalah berbeza- beza dalam kalangan kelompok seorang ibu. Dahulu, mungkin kita sangat sukar memahami pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan. Benarkan?
Sewaktu kecil, saya melihat rakan sepermainan di peluk dan dicium ibu mereka. Tatkala itu, hati saya diragut cemburu dan hampa kerana tidak diperlakukan sedemikian. Lalu sebaik sahaja ibu pulang dari kerja saya terus meluahkan perasaan kepadanya. Lantas saya berkata begini, “Mama tak pernah beri kasih sayang kepada Pa!” Ibu saya lantas membalas, “Kalau mama tak bagi kasih sayang, mama takkan kerja siang malam untuk cari duit.”
Jawapan ibu pada saat itu sebenarnya telah menjarakkan hubungan saya dengannya. Sebetulnya, apa yang saya harapkan adalah belaian pelukan dan ciuman seorang ibu namun saya mungkin memandang erti kasih sayang dari sudut yang lebih jauh.
Apabila hari berganti hari dan saya meniti dewasa, saya menjadi agak sukar untuk meluahkan masalah atau berkongsi cerita dengan ibu. Ditakdirkan saya ditugaskan bekerja jauh dan ketika itu saya mula menilai kembali mengapa saya tidak erat dengan ibu.
Sejujurnya apabila saya berpisah jauh daripada ibu, saya dapat melihat ibu mulai mengambil berat tentang diri saya, ingin tahu cerita saya dan mulai ingin mencium pipi serta memeluk saya. Saya amat kekok menghadapi situasi semua itu kerana telah berbelas tahun lamanya kami renggang atau lebih tepat saya hidup dalam dunia saya sendiri.
Benar, doa seorang ibu sangat mustajab dan akan menjadi keutamaan ALLAH S.W.T untuk dikabulkan. Mungkin berpuluh tahun ibu berharap dalam lewat doa supaya anak-anaknya menjadi soleh dan solehah. Maka sedikit demi sedikit ALLAH S.W.T memulangkan kebahagiaan buat dirinya.
Saat ujian dan gelora hidup melanda diri, saya sedari bentuk curahan kasih sayangnya kepada saya. Ibu jualah yang paling setia berada di sisi saat saya jatuh tersungkur. Pelukan hambar seorang ibu itu menjadi hangat kembali dan meresapi jiwa saya yang lemah. Ibu berkali-kali mengingatkan saya untuk menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup dan penguat jiwa serta tidak putus berdoa.
Tetapi sesuatu yang saya kesali apabila air mata ibu jatuh kerana saya. Titisan air mata ibu adalah nilai kasih sayangnya kepada saya! Sedangkan saya sentiasa meletakkan janji untuk tidak melukakan hatinya sampai bila-bila.
Ternyata saya gagal melaksanakan janji tersebut. Oh, sehingga kini masih terbayang titisan air mata ibu mengalir bukan kerana memarahi atau membenci sebaliknya ia merupakan bukti kasih sayang yang saya cari selama ini.
Pada saat itu, fikiran mula terbayangkan kasih sayang ibu kepada anak-anaknya. Ibu saya sentiasa bangun awal pagi dan menyediakan makanan buat kami adik-beradik. Walaupun kini semuanya telah besar panjang, apabila kami pulang ke rumah pasti ibu akan memasak pelbagai juadah yang lazat dan meskipun mulutnya sering membebel agar mengawal pemakanan dan tidak makan terlalu banyak!
Bicara seorang ibu itu belum tentu menzahirkan apa yang terbendung di hati, benarkan? Ibu sering mengingatkan agar tidak makan banyak, tetapi lauk yang dimasaknya sudah boleh menambah berat badan dalam tempoh yang singkat. Inilah peryataan sayang daripada ibu saya.
Ternyata kasih sayang itu tidak boleh diukur dan dipersembahkan dengan fizikal atau material kerana ia berbeza dengan ibu-ibu yang lain. Memukul bukan membenci tetapi mahu mendidik, meninggi suara bukan untuk me nakutkan tetapi ingin membentuk rasa hormat. Setiap orang mempunyai cara tersendiri, renunglah mata mereka kembali dan fikirkan bagaimana bentuk kasih sayang seorang ibu kepada kita.
Di sini saya mengekspresi rasa kasih sayang saya kepada ibu melalui coretan bisu ini. Harap ibu saya akan lebih mengerti kenapa saya sangat sukar menyatakan ucapan sayang tetapi jauh di sudut hati, kasih sayang saya kepadanya teramat tinggi. Mudah-mudahan mereka gembira melahirkan saya! Walaupun ditakdirkan bujang, tidak bererti saya tidak mampu membahagiakan kedua ibu bapa saya...
Dari Kaca Mata Seorang Ibu Tentang Poligami
Terjahan ayat pertama yang pasti terlontar ialah, “Ibu mana yang tak sayang anak” atau “Ibu mana yang sanggup melihat anak menderita.” Ketika saya di tanah suci Mekah, seorang ibu pernah berkata pada saya, “Seorang ibu itu akan sanggup membunuh kalau ada orang lain merosakkan hidup anaknya.” Mendengarnya, saya tersenyum sendiri. Begitu dalam kasih ibu!
Saat seorang anak menyatakan pada ibu niat ingin berpoligami yakni sama ada menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, pasti gundah perasaannya. Kenapa ibu berasa begitu?
Pertama sekali, ibu akan berfikir bagaimana kelak hidup anaknya, bahagia atau derita?
Kedua, ibu akan memikirkan, mampukah bakal suami anaknya berlaku adil dalam segala soal?
Ketiga, seorang ibu akan berfikir akan kekalkah hubungan yang terjalin dan bagaimana penerimaan madunya?
Keempat, si ibu pasti akan berfikir apa pula pandangan masyarakat terhadap anaknya kelak?
Kelima, adakahnya anaknya sudah dibomohkan?
Nah, ini adalah soalan demi soalan yang akan lahir di benak ibu. Wahai si anak, inilah pertimbangan yang ibumu fikir selepas kita menyatakan keinginan untuk berpoligami! Maka tidak perlu meneka-neki apa yang ibu kita fikirkan. Telah tersedia jawapan di dalam naskhah ini.
Kenapa seorang ibu berfikir sedemikian?
Seorang ibu itu tidak sanggup melihat anak yang dilahirkan hidup berendam air mata kerana khuatir anaknya tidak kuat mengharungi dugaan hidup yang melanda.
· Seorang ibu bukan berniat untuk memandang rendah kepada bakal suami anaknya tetapi seorang ibu itu menimbang, adakah ciri-ciri bakal suami yang ingin berpoligami itu mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w atau mampu berlaku adil terhadap rumah tangga. Ibu itu pasti risau, kalau anaknya itu dipergunakan. Ibu kita telah melewati hidup yang lebih panjang maka pengalamannya meniti hidup adalah lebih berbanding dengan si anak.
· Ibu pasti berasa khuatir seandainya dia membenarkan berpoligami dan kemudiannya hidup kita dirundung derita kerana si madu tidak dapat menerima kehadiran kita. Si ibu mungkin mempunyai imaginasi yang lebih dalam di mana mungkin si ibu membayangkan kita dianiaya oleh madu secara mental atau fizikal.
· Cemuhan dan pandangan negatif pasti muncul di sekeliling kita. Sinonim dengan perkataan perampas, pemusnah dan peruntuh rumah tangga orang. Ibu pasti tidak dapat menutup mulut-mulut yang menghina tetapi hanya mampu melindungi dengan tidak mengizinkan menjadi madu di dalam poligami.
· Ini mungkin terjadi, ibu mulai curiga dengan perubahan sikap dan mengesyaki kita telah ‘ditundukkan’ jika sebelum ini ibu melihat kita seorang yang tegas, mempunyai pendirian dan mementingkan keluarga. Namun selepas kita mengenali si dia, segala nasihat dan pandangannya tidak lagi diambil peduli. Melawan kata-kata ibu dan bertindak bermatian mempertahankan si dia boleh membuat ibu berfikir kita benar-benar dibomohkan!
Inilah kasih ibu tetapi dalam bentuk penyampaian yang berbeza. Ibu itu bersikap pelindung. Sedaya upaya ibu akan melindungi anak-anaknya meskipun satu masa nanti akan dicerca oleh anak sendiri.
Mengapa kita harus membenci ibu apabila dia mengatakan ‘tidak’ tatkala kita ingin melibatkan diri dalam poligami? ‘Tidak’ itu adalah gambaran cinta ibu kepada kita.
Bukanlah bermaksud ‘Ya’ itu tidak menyayangi, sebaliknya ‘Ya’ di dalam memberi keizinan, ia juga isyarat kasih ibu yang tidak terperi di mana ia menandakan apa jua rintangan yang bakal diharungi, ibu akan sentiasa bersama. Ibu juga akan menjadi bahu untuk kita melepaskan lelah di dalam ujian yang bakal ditempuhi. Besar bukan kasih sayang ibu itu?
Ibu dan Hari Tuanya
Tidak kusedar waktu telah menelan kecantikanmu
Ada garis halus mula menghiasi dahi dan senyumanmu
Ada lelah terpamer di matamu
Ada risau yang masih tersimpul di fi kiranmu
Rehatlah ibu... menikmati hari tuamu
Biar aku menjaga dan membahagiakanmu pula.
Ibu adalah insan yang sangat berjasa. Titisan air mata seorang ibu yang jatuh apabila dilukai bagaikan satu hukuman berat yang tersedia oleh ALLAH S.W.T yang bakal dirasai. Ibu, harus dihormati, dikasihi dan dilindungi apabila dirinya mula meniti usia tua.
Tanpa kita sedari wajah ibu semakin dimamah usia dan daripada setiap hela nafas yang terhembus telah mengurangkan jangka hayatnya. Lihatlah di wajahnya saat dia sedang tidur keletihan. Kirakan garis-garis kedut yang mengekal di wajah itu. Adakah semakin kurang atau bertambah? Semakin banyak kedut yang tergaris, sebanyak itulah kesabarannya mengharungi hidup.
Seorang ibu tua tidak lagi memandang material sebagai sesuatu yang menjadi keutamaan. Sebaliknya, jauh di sudut hati mereka mengharapkan anak-anak dapat meluangkan masa bersama kerana baginya masa di dunia semakin pendek.
Bukan lambakan hadiah yang diharapkan, tetapi seorang ibu tua itu ingin melihat senyuman yang terukir di wajah anak- anaknya dan memahatkan senyuman mereka di ingatan.
Banyak kali dia memanggil dan menyeru untuk berjumpanya, kerana sebanyak itu juga dia sedang berusaha mengingati wajah anak yang dilahirkan. Pasti dia juga bimbang, kalau-kalau tidak dapat mengingati rupa paras anak sendiri. Khuatir pula kepada penyakit nyanyuk!
Ibu akan sering berasa kesunyian meskipun hari-hari yang berlalu diisi dengan beribadat. Hakikatnya, seorang ibu tua sedang menghitung berapa hari lagi nyawanya masih dipinjamkan. Kadang-kadang, ibu takut untuk menyatakan rasa rindunya kerana tidak mahu mengganggu anak-anak yang sibuk mengejar dunia. Takut pula menjadi beban atau paling teruk bimbang jika dihantar ke rumah jagaan orang tua. Maka, senyap dan memendam adalah cara terbaik untuk menghabiskan sisa usianya.
Ibu mana yang berbesar hati dihantar ke rumah orang tua? Ibu mana yang rela disisih daripada hidup anaknya? Pusat penjagaan orang tua bukan neraka lahiriah buat ibu kerana fasiliti terbaik yang tersedia, ada kawan yang menemani, ada pekerja yang merawat namun adakah sama rasanya berada di rumah yang dihuni bersama anak?
Tentu sekali tidak! Makanya, ia neraka batiniah untuk seorang ibu. Ibu akan menanggung derita hati kerana disisih, malamnya akan berlagu sepi kerana tangisnya sendiri. Dan alangkah takutnya, saat ibu melabuhkan pengaduan kepada yang Maha Esa. Meskipun si ibu tidak menyatakan, namun ALLAH S.W.T itu Maha Mengerti. Tidak perlu beritahu, ALLAH S.W.T tetap tahu!
Seorang anak yang menghantar ibunya ke rumah jagaan orang tua adalah insan yang telah merendahkan martabat seorang ibu dan merendahkan maruah dirinya sebagai seorang anak! Dapatkah kita membayangkan suatu masa nanti perbuatan yang dilakukan akan berbalik kepada diri sendiri, malah mungkin lebih teruk daripada itu. Sewaktu itu, penyesalan tiada maknanya lagi.
Bagi yang telah menghantar ibu ke pusat jagaan orang tua, lihatlah mata ibumu dalam-dalam, tenung dengan keikhlasan. Adakah itu kehendak nya? Yang sedang melakukan pertimbangan, fi kirkan kembali sebelum datang penyesalan yang tidak terperi. Saat membuat keputusan menghantar ibu ke pusat jagaan orang tua, saat itu ALLAH S.W.T memerhatikanmu dengan teliti dan menarik sedikit demi sedikit kurniaan-NYA. Bagi yang belum terfikir, jangan langsung cuba menimbangnya!
Manusia dilahirkan akal yang panjang untuk mencipta alasan. Pokok pangkalnya, siapa yang melahirkan dan membesarkan kita adalah insan yang berhak dihormati, disanjungi dan dipelihara kasih sayang seutuhnya. Muhasabahlah tindakan kita terlebih dahulu sebelum membuang ibu jauh dari hidup. Nilaikan jawapan kita dengan soalan-soalan ini:
-Siapa yang menanggung sakit pada saat kita masih di alam rahim?
-Makanan/minuman apakah yang diminum/makan saat kita celik dan melihat dunia buat pertama kali? Siapakah yang menahan sakit saat kita begitu teruja ingin keluar dari alam rahim untuk melihat dunia?
-Air mata siapakah yang mengalir keluar kerana kita?
-Siapakah yang akan bangun malam saat kita menangis kelaparan?
-Siapakah yang mengusap-usap kita supaya lena tidur?
-Siapakah yang menjaga kita pada saat jatuh sakit ketika masih bayi?
-Siapakah yang mencuci najis saat kita masih tidak mampu melakukannya?
-Siapakah yang menjadi pahlawan membunuh nyamuk saat nyamuk ingin menggigit?
- Siapakah yang kita panggil saat mulai belajar berkata-kata?
- Siapakah orang pertama kita jumpa saat keluar haid yang pertama?
- Siapakah yang menyediakan pakaian saat hari raya menjelma?
-Siapakah insan yang selalu kita labelkan sebagai membebel?
-Siapakah yang akan memujuk saat ayah mengamuk?
- Siapakah yang membantu saat kita kesesakan?
- Siapakah yang paling gembira saat mengetahui anaknya disunting?
- Siapakah yang paling sibuk menguruskan hal perkahwinan anaknya?
- Siapakah yang akan mengalirkan air mata saat sah kita diijabkabul?
- Siapakah yang paling teruja saat mengetahui anaknya hamil?
- Siapakah yang paling banyak memberikan nasihat dan petua saat sedang sarat?
- Siapakah yang siang malam berdoa memastikan kita dan kandungan selamat?
- Siapakah yang kita ingat saat sedang menahan sakit bersalin selain ALLAH?
- Siapakah yang paling risau saat kita mengerang kesakitan di bilik bersalin?
- Siapakah insan yang kita minta bantuan menjaga anak saat terpaksa menghadiri kursus?
- Siapakah insan yang kita cari saat dugaan rumah tangga melanda diri?
- Siapakah insan yang paling kurang kita ucapkan terima kasih di atas pengorbanan yang diberi?
Apakah jawapan kita di setiap persoalan tadi? Setelah mempunyai jawapan, masih tergamakkah untuk menghantarnya ke rumah orang tua? Masih tergamakkah untuk mengenepikan dan membantahnya? Jika zaman muda remaja kita kerap membantah, itu adalah kerana kementahan tetapi sekiranya tahap dewasa ini masih membantah, itu adalah keegoan dan kejahilan sendiri.
Ibu adalah insan pertama yang harus dibalas jasanya. Bayangkan sehingga ke soalan terakhir sekali pun, masih belum cukup menghuraikan pengorbanan seseorang ibu. Apa yang ibu sangat perlukan tatkala senja meniti hari?
Sama seperti yang kita inginkan sewaktu kecil dahulu, iaitu perhatian! Peruntukkan masa yang mencukupi bersamanya. Sekiranya kita sedang bersukaria, jangan sesekali melupakannya. Contohnya, jika ingin bercuti bersama keluarga alangkah bahagia sekiranya kita mengajak ibu dan bapa untuk turut serta.
Mereka pasti sangat gembira kerana berasa dihargai dan tidak disisihkan. Fikirkan, ibu bapa yang sudah tua tidak akan mampu bercuti berdua sekiranya tidak disertai oleh anak-anak.
Alangkah sedih, andai kita sedang bercuti dan berseronok sedangkan mereka terperap di rumah menanti khabar! Janganlah mengeluh, leceh atau rumit kerana hidup mereka terlalu singkat untuk menyusahkan. Sedangkan kita telah menyusahkan mereka berpuluh-puluh tahun lamanya dan paling menarik, mereka tidak pernah mengeluh membesarkan kita!
Jika percutian yang dirancang hanya untuk keluarga (mentua) sahaja dan mengekang kita untuk mengajak kedua ibu bapa turut serta, apa salahnya jika membelikan mereka buah tangan sebagai tanda tidak melupakan mereka. Kita seorang yang tidak pandai menghargai mereka yang berjasa sekiranya pulang daripada bercuti dan menyatakan kepadanya yang kita tidak membeli apa-apa barang sepanjang percutian. Pasti mereka berkecil hati.
Ya, mereka tidak akan menyatakannya, tetapi fikir-fikirkanlah!
Sebagai anak, biarlah kita berasa sedikit susah dalam membahagiakan mereka kerana mereka pernah bersusah payah demi kita suatu masa dulu. Mereka sanggup mengikat perut dan mengawal perbelanjaan demi memastikan kehidupan kita walaupun tidak mewah tetapi mencukupi.
Seperti kedua orang tua saya lakukan dahulu, ketika itu kami sangat ingin menikmati burger A&W sedangkan mereka tidak begitu mampu. Namun mereka tetap memenuhi hajat dengan hanya membelikan untuk kami adik-beradik.
Mereka pula hanya melihat kami menikmatinya dan memakan baki timun yang ditolak tepi kerana rasa masam yang tidak disukai! Sungguh... terlalu besarnya jasamu.
Seingat saya, ibu selalu membelikan kebab daging kegemaran kami, tetapi yang dibeli hanya satu (kemampuan ibu saat itu). Setelah itu ibu akan menjadikannya tiga potongan agar kami dapat merasa sama sikit.
Tatkala melewati warung kecil kebab itu, saya akan mengingati peristiwa itu. Kini, satu keping roti kebab itu saya sudah mampu makan seorang diri tanpa perlu berkongsi, tetapi ia tidak seenak kebab yang dibeli ibu suatu ketika dahulu. Oh, inilah harga sebuah pengorbanan yang tiada nilai kerana sehingga kini saya masih belum dapat membayarnya walau dengan segunung harta!
Kisah Anak yang Memuliakan Ibu Bapa
Mari, kita hayati cebisan hikayat hikmah ini. Mudah-mudahan banyak pengajaran yang akan diperolehi. “Pada zaman Nabi Musa a.s, ada seorang pemuda yang memuliakan ibu bapanya. Lalu Nabi Musa a.s pergi ke rumah pemuda itu untuk melihat apakah amalan yang dilakukannya itu. Setelah memberi salam pemuda itu menjemput Nabi Musa a.s masuk ke rumahnya. Baginda pun duduk di ruang tamu.
Namun pemuda itu tidak melayan Nabi Musa a.s dan hairanlah baginda akan tingkah laku pemuda itu. Pemuda itu terus masuk ke dalam bilik kemudian membawa seekor khinzir betina. Dia mendukungnya dengan cermat, kemudian memandikannya. Nabi Musa sekali lagi kehairanan dan berbisik sendiri di dalam hatinya, ‘Apakah ertinya semua ini?’
Khinzir itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu ia dilap hingga kering serta dipeluk dan dicium kemudian dihantar semula ke dalam bilik tadi. Selepas itu pemuda itu keluar semula dengan seekor khinzir jantan pula dan lebih besar sedikit daripada yang tadi dan diperlakukan seperti khinzir yang sebelumnya juga. Selepas semua kerja selesai barulah dia melayan Nabi Musa a.s. Lalu Nabi Musa a.s bertanya kepada pemuda itu tadi,
“Apakah agama tuan hamba?”
“Islam agamaku,” jawab pemuda itu ringkas.
“Habis kenapa kamu membela khinzir?” tanya Nabi Musa a.s lagi.
“Wahai tuan hamba kedua-dua khinzir yang aku dukung dan aku mandikan itu tadi ialah ibu bapa kandungku. Oleh sebab mereka banyak melakukan dosa besar, ALLAH telah menukarkan rupa mereka kepada rupa khinzir yang hodoh.
Soal dosa mereka dengan ALLAH itu soal lain, itu urusannya sama ALLAH. Aku sebagai anak tetap melaksanakan tanggungjawabku kepada mereka berdua. Hari-hari aku berbakti kepada kedua orang tuaku itu sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Setiap hari aku berdoa semoga ALLAH mengembalikan rupa mereka yang asal, tetapi ALLAH belum lagi mengkabulkannya lagi.”
Maka ketika itu juga ALLAH berfirman dan menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s, “Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti hasil bakti yang sangat tinggi kepada ibu bapanya.
Oleh itu kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi KAMI.” ALLAH berfirman lagi yang bermaksud, “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi KAMI, maka KAMI angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang sebelum ini di neraka telah ditukarkan ke syurga.”