Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Parking Tambahan HKL





KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang kini mengalami kesesakan kawasan parkir akan mempunyai tambahan 1,500 ruang parkir tidak lama lagi sebagai rancangan jangka pendek bagi mengatasi masalah tersebut.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 539 ruang akan tersedia akhir tahun ini dan selebihnya dijangka siap tahun depan. 

"Menjelang akhir tahun ini, kira-kira 330 parkir akan siap sebaik sahaja kompleks SCACC (Kompleks Pakar dan Pusat Jagaan Ambulatori) dibuka dan kita akan memilik 209 lagi tempat meletak kereta terbuka," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut untuk meninjau keadaan parkir di HKL, hari ini.

Beliau berkata bangunan parkir bertingkat dan lebih banyak kawasan parkir akan dibina sebagai rancangan jangka panjang bagi menangani masalah berkenaan.

Kini terdapat 2,364 ruang parkir di HKL yang diurus syarikat parkir, yang 1,818 darinya diperuntuk untuk staf hospital dan 546 ruang bagi orang ramai.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah parkir di hospital berkenaan tetapi berikutan beberapa masalah yang dihadapi syarikat yang menguruskan kawasan parkir, masalah itu tertangguh.

Liow menjelaskan syarikat berkenaan mendapat kontrak selama dua tahun dari Kementerian Kesihatan pada Januari tahun lalu, namun berikutan timbul beberapa masalah, kontrak itu ditamatkan.

Beliau berkata ekoran itu kes tersebut telah dibawa ke mahkamah Januari tahun ini oleh syarikat berkenaan yang kemudiannya diarahkan oleh mahkamah supaya mereka meneruskan kontrak sehingga keputusan mahkamah dibuat pada 29 Okt ini. 

- Bernama


Cari Maklumat Di Sini