Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Subaru WRX STI




ENJIN Boxer WRX STI sedan berupaya menghamburkan kuasa sehingga 300PS. 
 
 
 

 SUSUN atur butang kawalan ternyata kelihatan kemas dan memudahkan dikecapi pemandu. 


TEMPAT duduk jentera ini dibaluti material Alcantara dan kulit.




SEBUT sahaja nama Subaru, sudah pasti sukan rali menjelma dalam minda. Kaitan itu timbul kerana itulah platform yang melonjakkan populariti produk keluaran syarikat subsidiari Fuji Heavy Industries Ltd. (KHI) di Jepun dalam pasaran global.
Sejarah sukan rali Subaru bermula menerusi beberapa penampilan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) seawal tahun 1980. Senario menjadi lebih serius dengan penubuhan Subaru World Rally Team (SWRT) pada tahun 1989.


Selama 19 tahun SWRT berkecimpung dalam WRC. Pada awalnya, pasukan SWRT menggunakan model Subaru Legacy sebagai jentera perlumbaan sebelum bertukar kepada Impreza mulai 1993.
Impreza membantu pasukan berkenaan menggondol enam kejohanan WRC dalam kategori pemandu dan pengeluar. Bagaimanapun, SWRT terpaksa menarik diri pada 2008 ekoran kemelesetan ekonomi dunia.
Sungguhpun begitu, pembabitan dalam sukan rali membantu kelahiran varian WRX dan STI. Varian WRX (World Rally Experimental) membabitkan pemasangan sistem pengecas turbo pada rangkaian model Subaru. Bagi Impreza, sudah tujuh versi WRX dihasilkan.


STI (Subaru Tecnica International) pula merupakan unit yang bertanggungjawab menghasilkan jentera berprestasi tinggi. Pendek kata, mereka ditugaskan untuk melaksanakan modifikasi pada model standard WRX.
Sentuhan STI membabitkan penalaan enjin, suspensi dan transmisi. Versi STI menempah nama dalam sukan rali dan meraih populariti dalam kalangan pelumba-pelumba jalanan.
Saban tahun, ada sahaja pembaharuan disuntik kepada model Impreza WRX atau WRX STI. Antaranya transformasi kosmetik, peralatan, prestasi dan pengendalian. Sebanyak tiga generasi Impreza WRX STI dihasilkan bermula 1992 hingga 2011.
Di Malaysia, kenderaan Subaru dibawa masuk oleh pengedar tunggalnya, Motor Image Malaysia Sdn. Bhd. (Motor Image). Buat masa ini, tiga keluarga Subaru ditawarkan iaitu Legacy, Impreza dan Forester.
Sejak beroperasi 11 tahun lalu, syarikat itu sudah menjual sebanyak 200 unit Subaru pelbagai model. Model yang mendahului jualan dalam rangkaian Subaru di Malaysia ialah Forester.
Baru-baru ini, Motor Image membawa masuk kereta ikonik Subaru edisi 2011. Kali ini, ia bukannya jenis hatchback seperti tahun 2008. Subaru mengembalikan bentuk asalnya iaitu sedan.




Perubahan nama
Malah namanya juga diubah. Bukan lagi sebagai Impreza WRX STI tetapi hanya Subaru WRX STI. Rasional pengguguran perkataan Impreza adalah untuk menjadikan Impreza dan WRX dua keluarga berbeza.
Kuasa WRX STI dijana oleh enjin petrol Boxer 2.5 liter DOHC dengan pengecas turbo yang kemudiannya disalurkan kepada sistem pacuan empat roda simetri (Symmetrical AWD).
Anda boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik. Kedua-duanya menawarkan kombinasi kestabilan pengendalian dan pecutan responsif.
Jurutera Subaru mengemaskini wajah WRX STI. Bampar hadapan yang sedikit lebar memiliki sudut tepi yang lebih tajam. Gril baharu dengan jaring hitam menyerlahkan lagi penampilannya.
Bampar itu turut membantu menyalurkan udara ke bahagian enjin dan intercooler turbo. Fungsi sama turut dimainkan oleh scoop yang ada di atas hud enjin.
Pelindung tayar jentera tersebut dilengkapi sil bagi membantu kemasukan udara serta menarik keluar haba panas dari kawasan enjin dan sistem brek.
Spoiler dan peresap belakang melengkapkan proses pengaliran udara. Kesemua komponen itu membantu faktor aerodinamik (downforce) ketika jentera dipandu pada kelajuan tinggi.
Pembaharuan WRX STI turut melibatkan sistem suspensi. Ketinggian jentera direndahkan menerusi pengunaan sesendal pillow-ball pada bahagian hadapan dan sesendal keras pada subbingkai belakang.




Penetapan ciri dan mode pemanduan jentera berkenaan boleh diubah mengikut kemahuan pemandu. Segala tetapan boleh dibuat menerusi tombol SI-Drive yang ada di sebelah brek tangan.
Ruang kokpit didominasi oleh tona hitam dengan kekemasan perak. Pencahayaan lampu merah daripada butang-butang kawalan dan panel meter membuktikan sifat agresifnya.
Model WRX STI yang diperuntukkan untuk pasaran tempatan cuma 20 unit sahaja. Percaya atau tidak, semua jentera itu sudah ditempah pelanggan.
Buat masa ini, Motor Image mempunyai lima bilik pameran, pusat jualan serta alat ganti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya (Selangor) dan Plentong (Johor).
Motor Image baru-baru ini membuka dua cawangan baharu masing-masing di Cheras (Kuala Lumpur) dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang). Jumlah pelaburan bagi kedua-dua premis itu melebihi RM2 juta.
Tidak lama lagi, satu kenderaan crossover bakal memasuki pasaran Malaysia iaitu Subaru XV. Kenderaan dalam segmen C itu bakal dipasang di Segambut dengan kadar pengeluaran minimum sebanyak 5,000 unit setahun.
Perkembangan semasa itu memberi tafsiran seolah-olah Subaru semakin serius dalam industri automotif di Malaysia. Hanya masa menentukan sama ada perkara itu menjadi nyata atau sebaliknya.

Cari Maklumat Di Sini