Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

DBKL - 7,805 notis sepanjang bulan Ramadan sahaja

Datuk Bandar Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 7,805 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang berlangsungnya bazar Ramadan di seluruh ibu negara pada Ramadan lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata, ia hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh anggota penguatkuasa DBKL bertugas.

Menurutnya, turut dilakukan 189 tindakan sitaan melibatkan peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Hasil kerjasama agensi-agensi lain juga, operasi sepanjang bazar Ramadan berjalan lancar.

“Seramai 91 warga asing tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Penguatkuasa DBKL dan Jamuan Hari Raya di Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Perancang, Datuk Zulkifli Ibrahim dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Mohd Saufi Mohamad.

Ahmad Phesal dalam ucapannya turut menyampaikan kata-kata penghargaan kepada anggota penguatkuasa yang berjaya menjalankan tugas sepanjang berlangsungnya bazar Ramadan 2012.

Katanya, agensi lain seperti pihak polis, imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam juga tidak terkecuali, kerana turut menyumbang memastikan ibu kota lebih baik dan teratur.

“Penting untuk DBKL memberi perkhidmatan terbaik dan ingin saya tekankan, penguatkuasaan adalah perkara terakhir yang perlu dilaksanakan, selepas pendekatan lain dibuat

“Pastikan semasa ambil tindakan, kita ada adab, bagi memastikan tindakan itu diterima, dan DBKL beri peraturan yang jelas kepada orang ramai,” katanya di hadapan kira-kira 2,500 anggota penguatkuasa DBKL yang hadir.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anggota penguatkuasa yang akan berangkat ke Tanah Suci, bagi mengerjakan ibadah haji nanti.

Cari Maklumat Di Sini