SUNGAI PETANI . - Niat murni seorang Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memberkas peragut berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas terjatuh dan kepalanya terhentak di atas jalan raya akibat ditendang suspek di Bedong dekat sini.
Mangsa, Mohd. Majdi Abd. Hamid, 33, yang bertugas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Karangan, Kulim meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pagi ini, setelah koma lebih 17 jam.
Isteri mangsa, Nor Baizura Rohim, 30, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam semasa mangsa bersama anak perempuan mereka berusia lima tahun keluar membeli cendol di pekan Bedong.
Katanya, berdasarkan maklumat orang ramai, semasa suaminya makan di kedai tersebut, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal meragut beg tangan mangsa.
"Selepas mendapat beg, suspek cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya kerana kebetulan pada masa itu pagar lintasan kereta api ditutup.
"Suspek berpatah balik dan melihat keadaan itu, suami saya kemudian bertindak mengejar mangsa dan sempat menerkam motosikal itu," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, HSAH di sini.
Nor Baizura berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, Mohd. Majdi telah memberkas salah seorang suspek yang membonceng motosikal.
Bagaimanapun, katanya, seorang lagi suspek yang menunggang motosikal bertindak agresif menendang mangsa dan rakannya sehingga terjatuh.
"Akibat itu, suami saya bersama seorang lagi suspek terjatuh. Malangnya kepala Mohd. Majdi terhentak di atas jalan raya dan orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu memberkas suspek terbabit," katanya.
Nor Baizura berkata, tidak lama kemudian, jirannya datang memaklumkan tentang kejadian tersebut.
"Rumah saya tidak jauh dari tempat kejadian. Saya keluar tengok dan dapati dia sudah tidak sedarkan diri. Dia kemudian dihantar ke HSAH. Keadaannya koma dan makin parah sehingga disahkan doktor meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 pagi ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, salah seorang suspek berusia 20-an berjaya ditahan orang ramai dalam kejadian semalam sementara seorang lagi masih diburu.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta melaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4239999 bagi membantu siasatan.