Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Buku Hudud

Buku hudud yang lengkap

Pada masa ini, polemik hukum hudud di Malaysia sedang berlangsung. Sesiapa yang mengikuti polemik ini, pasti bersetuju bahawa kandungannya berada di tahap permukaan.

Walaupun kita tahu hudud ialah hukum Islam, kita tidak tahu adakah pihak yang mengutarakan cadangan mahu mengguna pakai hukum hudud sepenuhnya, atau sebahagian sahaja. Adakah undang-undang hudud akan menghukum pencuri yang beragama Islam berbeza daripada pencuri beragama lain, walaupun mereka berpakat melakukan kesalahan bersama-sama?

Adalah satu yang tidak wajar  jika hanya orang Islam dihukum mengikut undang-undang hudud, manakala bukan  Islam menerima hukuman lain. Ketika muda, saya mengetahui perbuatan maksiat  beberapa orang teman Islam dan bukan Islam. Ketika itu saya sudah tahu bahawa yang Islam sewajibnya direjam jika hukum hudud dilaksanakan. Hukuman untuk pasangannya yang bukan Islam tidaklah saya ketahui.

Sekarang kita sudah ada Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shahidan Kassim,  Dr Dzulkefly Ahmad,  Datuk Profesor Dr Hashim Yaacob, di samping Tun Dr Mahathir Mohamad, yang amat tahu tentang hukum hudud.  Sesetengah tokoh bukan Islam juga tahu tentang hukum ini, cuma mereka menyembunyikan pengetahuan. Janganlah kita perkecil Karpal Singh misalnya, kerana beliau juga tahu, sehingga berani mencabarnya.

Sebenarnya, asas hukum hudud diketahui ramai. Perkara yang perlu kini ialah perinciannya. Dalam hal zina, keperluan empat orang saksi yang melihat keris ke sarung telah disebut oleh ustaz sejak tingkatan satu lagi. Saksi-saksi itu lelaki belaka, dan tahap kealimannya hendaklah cemerlang. “Jika saksi-saksi itu pernah berdosa besar, maka batal,” kata ustaz saya dalam tahun 1962.

Karpal Singh mengatakan bahawa saksi-saksi rogol sukar didapatkan, jadi hampir mustahil seseorang akan didapati bersalah dan dihukum. Apakah jawapan pihak yang sedang berjuang menjayakan pelaksanaan hukum hudud? Apakah kesaksian untuk bukti pencurian hingga membolehkan tangan pencuri dipotong?

Terang-terang saya katakan, saya amat teringin hendak membaca buku tentang hukum hudud yang lengkap dan mudah difahami. Saya yakin ada yang berupaya menghasilkannya, tetapi sejauh ini sebahagian daripada mereka hanya berbuat bising, berolok-olok berkonflik dengan Karpal Singh. Buku hukum hudud  masih tidak wujud di persada kerakyatan.

Saya berterima kasih kepada Sharif Shaary (ahli teater Perlis) kerana mengatakan semua yang berlaku dalam politik, mungkin olok-olok. Saya faham, Sharif kini mungkin  sedang berolok-olok menyokong parti tertentu di Perlis, dan beliau juga kelihatan bersungguh-sungguh, hingga menimbulkan kehairanan kawan-kawannya. 

Jika kita perhatikan istilah-istilah Negara Islam, Negara Perpaduan, Negara Berkebajikan, Negara Sekular dan beberapa lagi yang timbul dalam polemik politik Malaysia, dan kita tinjau perbezaan antara pengutaraan dan pelaksanaan, kita akan menemukan ‘olok-olok macam sungguh-sungguh’. Perlakuan politik con artists adalah biasa – dan memang begitu – malah hal ini kerap juga berlaku di luar politik (misalnya dalam percintaan, perniagaan dan lain-lain).

Hal ini dapat kita bandingkan dengan seruan politik-ulama agar umat Islam bersatu pada tali agama Islam, dan jangan berpecah-belah. Itu ialah ajaran yang terdapat dalam al-Quran. Ahli politik selalunya menganjurkan pecah belah, bukan perpaduan. Jika dicadangkan pertemuan persahabatan antara Pas dan Umno, ada saja penghalangnya.

Penekanan bicara ini ialah  penulisan buku hukum hudud mesti disegerakan. Tidak mengapalah siapa yang menulisnya, baik Uthman, Nik Aziz, Asri, Shahidan atau Hashim,  kerana yang penting ialah kehadiran buku tersebut di persada kerakyatan. Janganlah pula diperlekeh pengetahuan orang, kerana nama-nama yang saya sebutkan sebahagiannya  tidak menonjol dalam hal agama. Tokoh seperti Hashim Yaacob dan Shahidan Kassim, misalnya, memilih jalan hidup yang berlainan, sedangkan mereka mengkaji agama Islam secara sistematik
dan ilmiah. Anwar mungkin kekurangan masa untuk menulisnya, melainkan beliau menjadi pensyarah universiti seperti yang diimpikannya.


sumber :  RAHMAN SHAARI

Cari Maklumat Di Sini