KUALA LUMPUR - Panggung Anniversari di Taman Botani, Tasik Perdana di sini yang dulunya suram kini disuntik dengan elemen futuristik bagi menyerlahkan struktur seni binanya.  
  
Tinjauan Bernama ke Panggung Anniversari yang dikawal selia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mendapati banyak perubahan daripada segi kemudahan awam seperti tandas, bilik orang kenamaan dan lain-lain.
  
Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata mereka melahirkan rasa kagum dan teruja dengan struktur binaannya yang unik dan berbeza dengan pentas-pentas lain yang terdapat di negara ini.
  
Bagaimanapun, pentas yang pernah melahirkan bintang hiburan pada era 1970-an dan awal 1980-an itu kemudian seolah-olah ditinggalkan apabila banyak pentas lain muncul yang menawarkan hiburan percuma sekitar pertengahan 1980-an.
  
Panggung Anniversari dibina pada ulang tahun kesepuluh kemerdekaan negara pada tahun 1967 dan telah disumbangkan oleh Syarikat Tembakau Malaya, Shell Berhad dan Dunlop.

Pelajar Aliff Asyraf, 21, berkata dia berasa seronok apabila panggung itu diubah konsep seni binanya yang moden setanding dengan pentas-pentas lain yang banyak digunakan untuk persembahan pada zaman ini.
    
"Gabungan elemen moden dan unik telah menyerlahkan kehebatan panggung itu. Antara perubahan yang paling ketara dilihat ialah pemasangan bumbung telefon di kawasan amfiteater bagi memastikan penonton dapat menikmati persembahan walaupun dalam keadaan hujan," katanya.
  
Jururawat, Poobalan Ramaya, 27, berkata panggung itu merupakan satu kebanggaan rakyat Malaysia walaupun jarang dilawati.
  
"Dulu masa zaman kegemilangannya, panggung tersebut sentiasa ramai pengunjung menikmati hiburan secara percuma di hujung minggu," katanya.
  
Poobalan juga berkata kawasan pentas utama telah diperbesarkan berbanding dulu pentas kecil serta dilengkapi sistem bunyi dan penataan cahaya bersesuaian digunakan pada waktu malam.

Bagi Justin Kong, 21, yang pertama kali datang melihat panggung itu berkata ia amat cantik dengan strukturnya yang unik.
  
"Apabila saya ke sini saya dapati panggung itu mempunyai pelbagai kemudahan awam yang sempurna seperti bilik utiliti, laluan pejalan kaki dan ruang parkir kereta," katanya yang berharap panggung itu dapat menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong.
  
Sementara itu, 16.9.2012 akan diadakan satu program persembahan secara percuma bertemakan 'JAZZ IN THE PARK: NOSTALGIA KUALA LUMPUR' di Panggung Anniversari dari pukul 5 petang hingga 7 malam.  - Bernama