Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

Roti kepala manusia


BIARPUN bentuknya membuatkan orang ramai berasa loya, roti yang dihasilkan mempunyai rasa coklat, kismis dan kacang gajus yang sedap.


ROTI merupakan makanan universal yang boleh dinikmati oleh sesiapa pun namun anda mungkin menggeleng kepala apabila disajikan dengan ban yang disediakan Kittiwat Unarrom.
Tekak pasti berasa loya apabila melihat roti yang disediakan Kittiwat walaupun teksturnya lembut dan aromanya semerbak.
Kittiwat merupakan pewaris sebuah bengkel membuat roti yang diusahakan oleh keluarganya di Ratchaburi, Thailand.
Dia yang berkelulusan ijazah sarjana seni halus menggunakan pengalaman membuat roti sejak berusia 10 tahun untuk mempelbagaikan produknya.
Usahanya itu ternyata berjaya apabila ramai pelancong asing berkunjung ke kampungnya yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari kota Bangkok semata-mata mahu melihat roti berbentuk manusia.
“Kebanyakan mereka membeli roti bukan untuk dimakan, tetapi dijadikan sebagai barangan koleksi,” kata Kittiwat, 29.
Hasil eksperimen dengan doh yang dicampur kismis, coklat dan kacang gajus, Kittiwat berjaya menghasilkan roti yang bentuknya persis kepala manusia yang sudah mati, tangan, kaki dan organ-organ lain.
Hasil kerja seninya begitu halus sehinggakan roti-roti tersebut kelihatan tidak ubah seperti anggota badan manusia di makmal forensik.
Jelas Kittiwat, ramai yang tidak sanggup untuk menghampiri roti yang dibuatnya itu apatah lagi menjamahnya. Namun setelah diberi penerangan, ramai yang mengagumi usahanya itu.


“Apabila melihat roti itu mereka tidak mahu memakannya. Tetapi setelah sekali merasainya, ia sekadar roti biasa yang enak.
“Janganlah menilai sesuatu pada penampilannya sahaja.
“Sebaliknya cuba mengenalinya luar dan dalam sebelum membuat penilaian,” kata Kittiwat yang menghasilkan roti sebegitu sejak enam tahun lalu.
Kittiwat memperoleh idea untuk menghasilkan roti yang penuh kesenian itu menerusi buku-buku berkaitan anatomi manusia dan melawat muzium forensik.
Selain untuk berkarya, Kittiwat menjelaskan bahawa cara itu juga mampu menjadi medium untuk dia meluahkan ekspresi diri.
“Saya mahu bercakap mengenai kepercayaan (agama Buddha) saya dan doh mampu mewakilinya. Membakar anggota badan manusia menunjukkan bagaimana jangka hayat roti. Begitu juga manusia. Roti saya tetap sebuku roti, tidak kiralah bagaimana ia kelihatan,” tambahnya seperti dipetik CNN.
Seorang pelancong tempatan, Pornkaew Samransook yang membeli roti yang dihasilkan Kittiwat menjelaskan bahawa jejaka itu akan berasa dihargai sekiranya pelanggan menghabiskan roti yang dibeli.
“Oleh kerana dia berani membuat ban ini, saya akan memberanikan diri untuk memakannya,” katanya yang membeli roti berupa hidung manusia pada harga 52.50 bath (RM5.20).



HANYA sebahagian orang yang mampu menikmati roti yang dibuat Kittiwat.

Cari Maklumat Di Sini