RAWANG: Kolam Air Panas Selayang, dekat sini, yang suatu ketika dulu popular kerana sering dikunjungi pelancong dari Jepun, Arab Saudi dan Eropah kini semakin suram, seolah-olah terbiar tanpa pengawasan pihak berkaitan.
Ada tiga kolam besar dengan tahap kepanasan air berbeza di situ dan ia ia sepatutnya mampu menjadi tarikan pelancong jika dipromosikan apatah lagi ia terletak di pinggir ibu kota.
Tinjauan ke lokasi berkenaan mendapati, beberapa pelancong yang tiba dengan teksi hanya singgah dan tidak berminat untuk menikmati kehangatan air panas di situ disebabkan kurang tarikan di sekitar kolam berkenaan.
Malah, difahamkan, pekerja yang dipertanggungjawab menyapu sampah dan mengutip bayaran letak kereta sudah tidak disediakan menyebabkan kawasan itu tidak selesa dan kadangkala hanya peniaga berhampiran membersihkan kolam berkenaan.
Pengunjung, Silas Lim, 45, berkata, dia kerap berkunjung ke kolam itu sejak dua tahun lalu, namun kurang berpuas hati dengan kemudahan di situ apatah lagi terdapat sebuah kolam yang kotor dan tidak sesuai untuk mandi.
“Tarikan kolam air panas sudah ada, tetapi kawasan ini perlu dibangunkan dan kemudahan lebih selesa perlu disediakan bagi menarik lebih ramai pengunjung. “Dulu semua kolam ini boleh digunakan, tetapi satu daripada kolam itu sudah tercemar dan sekiranya ada yang berendam mereka perlu membilas dengan air lain kerana boleh menyebabkan gatal-gatal,” katanya.
Peniaga makanan, Shah Azwan Wahid, 16, berkata, sejak awal tahun ini tiada pihak yang menyelenggara kawasan berkenaan menyebabkan peniaga berhampiran membersihkan kolam menggunakan mesin penyedut air bagi memastikan kolam sentiasa bersih.
Menurutnya, ramai pengunjung percaya air kolam itu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit apatah lagi baru-baru ini terdapat satu keluarga India membawa seorang anggota keluarga yang lumpuh untuk berendam dan pulih selepas enam bulan berulang-alik ke kolam itu.
Peniaga yang mahu dikenali, Bahar, 30-an, berkata, disebabkan tiada pengawasan dan penyelenggaraan daripada pihak berkaitan, kolam air panas itu menjadi tempat remaja dan Mat Rempit melepak selepas tengah malam.
“Kami bimbang kawasan ini tercemar dengan perbuatan tidak bermoral sekiranya masih tiada pengawasan. Ketika ini, pengunjung bebas keluar dan masuk ke kolam ini kerana ia sentiasa dibuka 24 jam.
“Sekiranya ada yang mengawasinya, mungkin ia bertambah selamat dan selesa, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam MPS, Mohd Zin Masoad berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada kerajaan negeri bagi mengambil alih pengurusan kolam berkenaan untuk dijadikan kawasan rekreasi.
Ketika ini, kawasan itu diuruskan Kesatuan Koperasi Majlis Perbandaran Selayang (Komas).
Katanya, MPS akan melakukan beberapa perubahan termasuk menaik taraf di kawasan kolam berkenaan yang merangkumi penyusunan semula gerai berhampiran dan pembinaan surau.
“Setakat ini MPS menempatkan wakil jabatan kesihatan dan pelesenan di sana,” katanya.