Mohd Mustafa Faizul (kanan), adik iparnya, Che Siti Muruliana Che Razani (kiri) dan adiknya Nurain Fatehah Mat Hassan, 7, menunjukkan biji getah yang dikutip.




BUKIT PAYONG – Siapa sangka, pokok getah sudah menjadi seperti pokok kelapa apabila kesemua bahagian pokok itu berguna dan boleh mendatangkan pulangan lumayan kepada penoreh serta penduduk kampung.

Sebelum ini, hanya susu getah yang berharga selain daunnya popular bagi masyarakat kampung untuk membungkus tapai diikuti batang getah yang bernilai untuk industri pembuatan perabot.

Tetapi, sejak belakangan ini biji getah pula menjadi sumber pendapatan baru bagi penduduk daerah ini.

Malah, ia fenomena baru apabila suasana bagaikan pesta dengan orang ramai mencari dan mengutip biji getah untuk memenuhi keperluan program penanaman semula.

Fenomena mengutip biji getah dalam kalangan masyarakat kampung khususnya di kawasan Hulu Besut didapati mulai rancak sejak akhir Julai lalu apabila terdapat permintaan daripada pembeli.

Antara yang aktif mencari biji getah adalah keluarga Mohd Mustafa Faizul Mat Hassan, 22, yang menetap berhampiran Lata Tembakah dekat sini apabila menjadikan usaha mencari dan mengumpul biji getah sebagai pekerjaan sambilan untuk menambah pendapatan.

Menurutnya, pada sebelah petang, dia bersama isteri dan adik iparnya serta ahli keluarga beramai-ramai pergi ke kebun getah berhampiran untuk mengumpul biji getah sebelum dijual kepada pemborong tetap.

Katanya, mencari biji getah tidak sukar kerana kebanyakan kebun getah tidak semak seperti dahulu menyebabkan biji getah mudah dilihat serta dapat dikutip dengan banyak pada musim ini.

“Buat masa kini, peraih membeli biji getah dengan harga sekitar RM2 setiap kilogram dan apabila dikumpulkan kami lazimnya dapat mengutip lebih 30 kilogram biji getah setiap petang yang hanya memakan masa dua hingga tiga jam.

“Menjual buah getah memberi pendapatan sampingan kepada kami kerana kerja ini dilakukan pada masa terluang dan tidak memenatkan. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan dapur atau perbelanjaan sekolah kerana kanak-kanak dapat melakukan kerja ini,” katanya.

Mohd Mustafa Faizul berkata, selain keluarganya ramai lagi keluarga lain yang melakukan pekerjaan ini sebagai pendapatan selepas menoreh getah pada waktu pagi.