gambar hiasan
GEORGETOWN - Kegembiraan sepasang suami isteri yang menyambut kelahiran anak kedua selepas penantian selama tujuh tahun berakhir dengan mimpi ngeri apabila bayi itu meninggal akibat tersedak susu, hari ini.
Datuk mangsa yang hanya dikenali sebagai Richard Ng, 57, berkata bayi berusia 17 hari itu meninggal kira-kira jam 4 pagi.
"Menantu saya menyusukan Ng Kian Weng menggunakan susu botol. Selepas bayi sendawa dia kembali menyambung tidurnya.
“Bagaimanapun, mangsa didapati tidak bernafas dan wajahnya kebiruan selepas bangun tidur kira-kira jam 6 pagi. Menantu saya terus menjerit memanggil suaminya dan mereka bergegas ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada media ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.
Kian Weng berkata, sebaik tiba di hospital, cucunya disahkan meninggal dunia oleh doktor hospital berkenaan.
Menurutnya, beliau tidak berkesempatan untuk melawat cucunya itu akibat sibuk kerana baru memulakan tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini.
“Saya amat terkilan kerana itulah kali pertama dan kali terakhir saya melihat cucu saya.
“Amat menyedihkan apabila saya hanya dapat melihat mayatnya sahaja buat kali terakhir," katanya.
Sementara itu, bapa bayi berkenaan, Ng Kok Fai, 35, enggan ditemui kerana masih dalam keadaan terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa keluarganya.
Ibu mangsa pula yang enggan dikenali dan dilihat bercakap dengan keluarganya berkata, dia tidak percaya dengan apa yang berlaku.
“Semuanya berlaku dengan pantas kerana baru sebentar tadi saya mendukung dan menyusukannya. Kini dia tiada lagi," katanya.
Difahamkan, anak kedua pasangan terbabit lahir pada 20 Ogos dengan berat 3.3 kilogram.
Mayat mangsa dibawa ke tanah perkuburan Cina Batu Gantung untuk upacara pembakaran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bayi berkenaan tersedak susu di saluran pernafasan.