Abdul Rahman mampu memperoleh pendapatan lumayan melebihi RM3,000 semusim dengan menjual durian.- kg.jerung seberang
MARANG - Kegigihan penduduk di kawasan Mukim Jerung seperti di Kampung
Padang Terik, Temiang, Jerung Seberang dan sekitarnya yang mengusahakan
dusun durian memberikan pulangan lumayan sejak ia mengeluarkan hasil
akhir bulan lalu.
Difahamkan setiap musim pengusaha dusun durian di mukim berkenaan
memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 untuk semusim jika mempunyai 10
hingga 20 pokok durian dengan harga jualan serendah RM3 sebiji atau RM15
hingga RM20 setiap longgok.
Seorang penjual durian, Abdul Rahman Mahmud, 50, berkata, dia menanam
sebanyak 15 pokok durian dengan sebahagian besarnya jenis bermutu tinggi
hingga dapat bersaing dengan buah durian dari luar negeri ini yang
biasanya dijual secara timbang kilo.
Menurut pekerja syarikat pembalakan itu, dia mampu memperoleh
pendapatan RM3,000 semusim dan ada juga penduduk yang mampu mendapat
pendapatan melebihi RM5,000 semusim bergantung kepada keluasan dusun dan
pokok durian yang ditanam.
“Pekerjaan ini adalah pekerjaan bermusim bagi saya namun bagi
kebanyakan penduduk ia adalah pekerjaan utama mereka. Ini sebab,
pendapatan menjual buah durian agak lumayan tambah pula isi durian di
kawasan Jerung ini adalah yang terbaik di negeri ini,” katanya.
Abdul Rahman berkata, keadaan jalan utama kampung berkenaan juga turut
berubah apabila musim raja buah itu tiba kerana penjual durian akan
memenuhi bahu jalan bermula dari simpang ke Kampung Padang Terik, ke
Temiang sehingga menuju ke Wakaf Tapai.
“Malah, apabila tiba musim durian penduduk di sekitar kawasan ini akan
berjaga malam untuk mengawasi dusun durian masing-masing bagi mengelak
raja buah itu dimusnahkan haiwan liar atau dicuri sejak awal malam
hingga pagi,” katanya.