Terima kasih kerana melayari blog ini . kami sekeluarga mohon kemaafan sekiranya artikel dalam blog ini menyinggung anda .

AWAS!! sihir - pukau ala-pakistan



Rakaman CCTV menunjukkan lelaki terbabit cuba mengambil wang dari mesin juruwang di sebuah kedai buku


KUANTAN  - Taktik licik dua lelaki warga Pakistan memperdaya mangsa untuk mendapat wang akhirnya terbongkar selepas mereka ditangkap sekumpulan pengawal keselamatan sebuah pusat membeli –belah dekat sini kelmarin.
Mereka dikatakan menggunakan beberapa keping wang yang dipegang selain bertanyakan beberapa soalan dalam bahasa Inggeris sehingga menyebabkan mangsa tidak menyedari kejadian yang berlaku dan menyerahkan wang yang ada.
Detektif Dalaman pusat beli belah terbabit, Muhammad Yan Abdullah berkata, dia menerima aduan daripada seorang pemilik butik yang menyedari kehadiran dua lelaki berkenaan di kedainya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik pakaian miliknya.
Curiga dengan perbuatan lelaki berkenaan yang cuba menarik wang daripada pekerjanya, Muhammad Yan berkata, pemilik butik itu terus menghubunginya selepas memberi arahan kepada seorang pekerjanya yang lain untuk mendekati lelaki itu.
“Sebaik menerima aduan, saya terus mendapatkan rakaman wajah lelaki itu daripada pemilik butik sebelum bertindak mengarahkan semua pengawal keselamatan mencari lelaki itu di semua kedai dalam pusat beli belah ini,” katanya.
Katanya, tindakan pantas semua anggota akhirnya berjaya menahan dua lelaki itu di sebuah kedai buku tidak jauh dari butik terbabit.
“Ketika itu, salah seorang lelaki berkenaan sedang memperdaya mangsa yang juga jurujual di kedai buku itu dan cuba mengambil wang dari mesin juru wang,” katanya.
Menurutnya,  dua lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan dan di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala semua mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Muhammad Yan berkata, walaupun kejadian itu adalah kes pertama di pusat beli belah berkenaan tetapi mereka tetap membuat pemantauan kerana sudah mendengar banyak kes sama sebelum ini.
“Banyak kes pukau yang pernah kita dengar sebelum ini dan kebanyakan mangsa adalah peniaga. Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya tidak berulang,” katanya.
Pengakuan Mangsa
Beberapa mangsa mengakui mereka seolah-olah tidak sedarkan diri selepas didatangi dan ditegur lelaki yang berlagak sebagai pelanggan.
Seorang pekerja kedai roti yang dikenali sebagai Abi, 22, berkata, pada malam kelmarin iaitu kira-kira jam 9 malam, lelaki terbabit membeli roti dan membayar RM2.20 sebelum bertanya mengenai sama ada negara ini mempunyai not RM20.
Menurutnya, selepas ditanya demikian, dia menunjukkan not RM20 kepada lelaki itu sebelum dia sekali lagi bertanya mengenai not RM50.
“Selepas menyoalkan saya mengenai not tersebut, dia memaklumkan mahu menukar not RM100 kepada mata wang Arab Saudi.
“Bagaimanapun, saya memberitahu padanya bahawa tiada duit dalam mata wang itu, namun dia tidak berpuas hati dan cuba mengambil wang dalam mesin juruwang,” katanya ketika ditemui di sini.
Abi berkata, ketika itu dia seperti tidak sedar dengan tindakannya sebelum disergah oleh pengurus yang curiga dengan tindakannya mengeluarkan wang dan membiarkan lelaki berkenaan cuba mengambilnya.
Katanya, selepas disergah, dia terkejut dan sedar namun kelibat lelaki berkenaan sudah hilang.
Kena pukau
Bagi pekerja butik pakaian, Noraini Johari, 21, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari seolah-olah di pukau.
Katanya,  dia tidak menyangka lelaki yang bertanyakan harga telekung di butik itu sebenarnya cuba mencari ruang untuk menipu.
“Ketika itu kira-kira jam 1.30 tengah hari lelaki itu masuk ke butik dan memberi salam sebelum bertanya sama ada saya seorang Muslim atau tidak.
“Selepas itu dia bertanya mengenai mata wang Arab Saudi dan mahu menukarnya, namun saya menjawab tiada, tetapi dia tidak percaya malah berkeras mahu melihat sendiri mesin juruwang,” katanya.
Katanya, berlaku sedikit adegan tarik menarik duit di dalam mesin sebelum dia tersedar apabila telefon miliknya berbunyi.
“Sekelip mata saya tersedar sebelum lelaki itu melarikan diri dari butik,” katanya.
Situasi sama turut dialami pekerja kedai buku, Nurul Fadilah Mohd Robin, 22, apabila lelaki berkenaan masuk ke kedai dan mahu menukar duit.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas iaitu kira-kira lima minit, sebelum pihak pengawal menahan lelaki terbabit,” katanya.
Nurul Fadilah berkata, itu kejadian pertama yang dialaminya selepas tiga tahun bekerja di kedai itu dan ia pengalaman yang menakutkan.

Cari Maklumat Di Sini