Siasatan awal mendapati wanita berusia 21 tahun dan tinggal bersama keluarganya itu masih belum berkahwin dan dia sering berkurung dalam bilik di rumahnya sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata gadis terbabit yang juga pekerja kilang itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Kita sudah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari ke atas wanita itu dan akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti bapa sebenar kepada bayi malang berusia beberapa jam sebelum dia ditemui mati.
Selain itu juga, motif sebenar suspek sanggup bertindak membuang bayinya menerusi tingkap rumahnya masih disiasat, katanya ketika dihubungi semalam.
Keluarga tidak tahu suspek hamil
Katanya, siasatan awal juga mendapati keluarga gadis terbabit tidak tahu wanita itu hamil dan siasatan terperinci masih dijalankan.
Arjunaidi juga berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi di lokasi kejadian mengesahkan bayi yang baru dilahirkan itu masih hidup sebelum dicampak dari tingkat tiga perumahan itu.
Berdasarkan bedah siasat yang dijalankan, bayi itu mati akibat kecederaan teruk di kepala selepas dipercayai dicampak ibunya, katanya.
Dalam kejadian itu, bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan beberapa jam ditemui mati oleh penduduk setempat di kawasan letak kereta pangsapuri itu.